PARIS 23 Mei – Kelibat dua pemain utama, Serena Williams dan Naomi Osaka dijangka menjadi perhatian menjelang bermulanya Terbuka Perancis apabila masing-masing sedang bergelut dengan kecergasan dan prestasi yang tidak menentu.
Sama ada kedua-dua pemain ini mampu menyinar dan dapat beraksi atau pun tidak, persoalan itu kini berlegar-legar dalam kalangan peminat tenis dunia, Apa yang pasti, mereka bukan lagi boleh diletakkan sebagai pemain pilihan untuk muncul juara kali ini.
Ketika Serena sedang berusaha keras untuk mengembalikan kecergasannya selepas melahirkan anak, Osaka pula perlu melakukan suatu kebangkitan luar biasa jika berhasrat merangkul kejuaraan Grand Slam lagi di sini.
Sekiranya mampu menjuarai Terbuka Perancis, ini merupakan gelaran Grand Slam ke-24 buat Serena, 37, manakala bagi Osaka, ia adalah kejuaraan Grand Slam ketiga berturut-turutnya selepas menjuarai Terbuka Amerika Syarikat (AS) 2018 dan Terbuka Australia 2019 sebelum ini.
Kali terakhir Serena menjuarai Grand Slam ialah pada Terbuka Australia 2017 namun selepas itu kekecewaan demi kekecewaan dialaminya sekembali dari bersalin. Ini termasuk ketika tewas kepada Angelique Kerber di final Wimbledon dan kepada Osaka di Terbuka AS tahun lalu.
“Sebenarnya saya tidak dapat banyak berlatih dan terpaksa lama berehat daripada yang saya jangkakan. Namun saya masih berusaha untuk kekal cergas. Saya suka gelanggang tanah liat dan mahu menjadi sebahagian daripada kegemilangan itu,” katanya.
Pemain No. 1 dunia, Osaka, 21, pula sejak berpisah dengan jurulatih, Sascha Bajin Januari lalu dilihat merudum prestasinya sehingga menyaksikan pemain dari Jepun ini tidak meraih sebarang gelaran sejak itu.
“Saya ni seorang yang cepat merasa selesa. Jadi sekali sekala gagal tu perkara biasa. Saya rasa jika dapat mengawal situasi kegagalan itu, semuanya akan kembali normal,” katanya yang tidak pernah mara jauh di Terbuka Perancis. – AFP











