Pasukan Lembah Klang itu kelihatan yakin untuk merangkul beberapa gelaran selepas menempah slot separuh akhir dalam acara beregu dan perseorangan perempuan bawah 16 tahun serta perseorangan lelaki di bawah peringkat usia sama.
Juara bertahan perseorangan lelaki bawah 16 tahun, Chua Kim Sheng yang juga diletakkan selaku pilihan utama akan bertemu rakan sepasukan, Yap Juin An (pilihan 3/4) bagi merebut tempat ke perlawanan akhir selepas mencatat kemenangan 18-21, 21-19, 21-9 ke atas wakil Johor, Tew Hen Zhuan.
Juin An pula melakar kemenangan straight set ke atas pencabar dari Kuala Lumpur, Bryan Chang 21-15, 21-19. Seorang lagi pemain Selangor yang turut mara ke separuh akhir ialah Haris Safuan Rushdan yang mengalahkan rakan senegeri, Chui Jin Yang 21-18, 21-19.
Pada separuh akhir, Haris bakal menghitung pertemuan dengan Hooi Shao Herng setelah pemain Kuala Lumpur itu menyingkirkan Ariffin Nazri Zakaria 21-17, 19-21, 21-17.
“Saya berada di sini untuk membuktikan kemenangan saya pada timbal balik pertama di Pulau Pinang bukanlah sekadar kebetulan. Saya mahu mengekalkan gelaran di sini dan saya amat berpuas hati dengan prestasi semasa saya,” kata Kim Sheng.
Pemenang beregu dalam timbal balik pertama, K. Letshanaa melangkah ke separuh akhir dalam dua acara iaitu perseorangan dan beregu kategori remaja perempuan bawah 16 tahun.
Dalam aksi perseorangan, Letshanaa memberikan satu lagi persembahan mengagumkan apabila menundukkan wakil Johor, Ler Yee Huey 21-11, 21-14 dalam masa 25 minit dan akan bertemu rakan senegeri, Siti Nurshuhaini Azman bagi merebut slot ke final. Nurshuhaini mencipta kejutan ke atas pilihan ketiga, Goh Shuen Tong dari Sabah 21-17, 21-10.
Dalam satu lagi separuh akhir, pertembungan melibatkan pilihan kedua, Arena Satu Samin dari Sabah yang berada di landasan tepat untuk menjejakkan kaki ke perlawanan akhir menentang Letshanaa, selepas dia mara apabila mengalahkan pemain Selangor, Lim Qi Ling 21-7, 21-7.
Sementara itu, pemain Johor, Hoe Shi Yun melakar kejutan ke atas pilihan keempat Loh Zhi Wei dari Selangor 21-19, 21-17.
Juara bertahan beregu perempuan, Letshanaa-Zhi Wei mara ke peringkat empat terbaik selepas mengetepikan wakil Johor, Lee Jia Yi-Zuraini Nazri 21-10, 21-14. Mereka bakal bertemu beregu Sabah, Shuen Tong-Arena yang menewaskan Lee Yue-Amanda Yap (Kuala Lumpur) 21-12, 21-15.
Dalam satu lagi aksi, gandingan dari Johor, Davincy Saha Dylyvy Saha-Hue Shi Yun mengalahkan Chong Roura-Dayang Nurniwanee Irwan (Sabah) 21-9, 21-19 dan akan menghitung pertembungan dengan pasangan Selangor, Siti Nurshuhaini-Ho Lo Ee who yang menang 21-15, 21-9 ke atas beregu Johor, Chiam Bao Ni-Lim Shin. – UTUSAN ONLINE











