PEJAM celik, pejam celik, kita sudah mula melangkah masuk ke bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan. Bulan yang penuh dengan aktiviti ibadah dan perniagaan. Setiap kali menjelang Ramadan, kita akan mula berbicara tentang tumbuhnya usahawan-usahawan baharu bazar Ramadan.
Penulis ingin mengucapkan selamat berniaga dengan penuh keberkatan dan integriti. Kepada usahawan tegar yang berniaga sepanjang tahun akan menganggap Ramadan ini sebagai satu lagi ruang dan peluang untuk mereka bermuamalah tetapi wujud juga golongan yang tidak pernah berniaga, namun ingin merebut peluang kemeriahan berjual beli terutama peniaga makanan di bazar Ramadan.
Kebersihan, harga, kualiti dan saiz makanan sering kali menjadi rungutan pengunjung bazar Ramadan. Terdapat peniaga baharu yang kotor, harga mahal, menghidangkan makanan basi dan juga menjual dengan saiz yang terlalu kecil.
Perniagaan itu adalah ibadah, bukan semata-mata untuk mengejar kegemilangan duniawi dalam bentuk harta benda. Sebelum berhasrat untuk berniaga, tuntutlah ilmu mengenai cara-cara memasak, menjaga kebersihan premis dan menetapkan harga makanan. Janganlah semata-mata mahu mengejar keuntungan hingga mengabaikan aspek-aspek tersebut. Janganlah sampai pembeli menyumpah seranah anda pada bulan mulia ini.
Kemeriahan bermuamalah ketika Ramadan hanya datang sekali dalam setahun. Jika peniaga-peniaga baharu ini dapat mengekalkan kualiti ketika Ramadan, kemungkinan besar perniagaan mereka boleh berkembang luas selepas bulan tersebut. Selain itu, para peniaga perlu memenuhi kehendak pelanggan dengan baik.
Kadang-kadang pembeli hanya perlukan sedikit daripada makanan dijual tetapi anda menetapkan kadar minimum pembelian. Sebagai contoh, pembeli ingin membeli sedikit sayur goreng sedangkan anda menetapkan pembelian minimum RM3 untuk setiap juadah yang disediakan. Dalam keadaan terpaksa, pelanggan akan membeli tapi ia menyumbang kepada pembaziran selepas waktu berbuka.
Mengikut statistik, pembaziran makanan berlaku pada kadar tertinggi ketika Ramadan sedangkan pada bulan tersebut, umat Islam semuanya berpuasa. Bayangkanlah setelah berpuasa sepanjang hari, pembaziran berlaku hanya dalam tempoh sejam selepas tiba waktu berbuka.
Jadilah peniaga beretika dengan mengamalkan sikap yang terbaik sebagai seorang usahawan. Sikap tersebut bukan sahaja perlu dizahirkan kepada pelanggan yang mengunjungi premis anda tetapi juga dizahirkan kepada rakan-rakan peniaga yang berada di sekeliling. Jangan menjadi sombong dengan tidak menegur jiran-jiran peniaga sebelah menyebelah di bazar Ramadan. Jadikanlah ia peluang untuk menjalinkan jaringan perniagaan sesama usahawan. Mungkin selepas Ramadan akan ada peluang yang lebih besar dengan bergabung bersama usahawan-usahawan lain.
Kesimpulannya, tidak menjadi kesalahan untuk menjadi usahawan ekspres di bulan Ramadan jika anda mengamalkan ciri-ciri peniaga Muslim sebenar. Dengan izin Allah, rezeki di bulan Ramadan akan menjadi sumber yang berkekalan untuk anda selepas ini.
Perniagaan itu satu ibadah, maka amalkanlah rukun-rukunnya seupaya perniagaan anda sentiasa di bawah rahmat dan lindungan Allah.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).











