Sedia kaji cadangan kerja waktu malam - Utusan Malaysia

Sedia kaji cadangan kerja waktu malam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 4 Mei – Kementerian Sumber Manusia sedia untuk mengkaji cadangan mengalihkan waktu bekerja siang kepada waktu malam terutama yang melibatkan sektor pekerjaan tertentu.

Menterinya, M. Kulasegaran berkata, cadangan yang disuarakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu amat baik serta boleh diperhalusi.

Menurut beliau, sebagai kementerian yang bertanggungjawab pihaknya mengambil maklum cadangan berkenaan dan sedia untuk mengkaji keberkesanannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Memang ada banyak sektor pekerjaan yang sesuai untuk melaksanakan waktu bekerja pada waktu malam mengikut kesesuaian operasi masing-masing.

“Pada dasarnya kita menyambut baik cadangan Perdana Menteri itu walaupun ia bukanlah arahan beliau dan akan mengambil langkah susulan berhubung perkara berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis pelancaran novel berbahasa Tamil, Kandicheemai di Institut Latihan Perindustrian Ipoh di sini hari ini.

Mengulas lanjut cadangan tersebut, katanya, pelaksanaan waktu bekerja pada waktu malam juga bukan sesuatu yang baharu malah telah pun dipraktikkan banyak negara.

Katanya, di Eropah misalnya, semasa musim cuaca sejuk atau panas ada syarikat beroperasi pada waktu malam setelah mengambil kira keselesaan pekerja mereka.

“Sehubungan itu, kementerian akan membentuk sebuah jawatankuasa bagi mengkaji cadangan Perdana Menteri ini sebelum sebarang keputusan dibuat,” ujar beliau.

Kelmarin, Dr. Mahathir memberitahu bahawa kerajaan sedang memikirkan untuk mengalihkan waktu bekerja siang kepada waktu malam dalam sektor pekerjaan tertentu.

Perdana Menteri berkata, langkah itu bagi memudahkan pekerja tempatan, terutama mereka yang terpaksa bekerja di tengah panas.

Katanya, ia juga sebagai langkah menggalakkan rakyat bekerja dalam sektor yang kini bergantung kepada tenaga kerja asing. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini