KOTA BHARU 2 Mei – Pengalaman berdepan masalah kulit muka rekah yang teruk menyebabkan seorang bekas jurutera elektrik menghasilkan sendiri ‘penawar’ setelah kecewa menggunakan pelbagai produk kecantikan ternama di pasaran.
Pengasas ‘Laghiz Cosmetic’, Siti Syahirah Azam berkata, dia beralih kepada bahan asas di dapur untuk merawat kulit mukanya dan hasilnya tidak mengecewakan apabila usahanya merawat kulit muka sendiri berjaya.
Menyedari khasiatnya yang perlu dikongsi, Siti Syahirah, 30, yang dahulunya bergelar seorang jurutera elektrik sebelum menceburi bidang perniagaan makanan sepenuh masa sejak tahun 2014, telah membuat kajian dan penyelidikan (RnD) selama empat tahun untuk mengeluarkan produk kecantikan organik di bawah jenama ‘Laghiz Cosmetic’.
“Produk ini lahir dari dapur rumah dan restoran saya sendiri, kesibukan menguruskan perniagaan menyebabkan saya mengalami masalah kulit muka rekah yang serius.
“Saya menggunakan pelbagai produk kecantikan untuk mengatasinya tetapi tidak berjaya, jadi saya beralih kepada bahan asas di dapur seperti kunyit dan alhamdulillah muka saya baik semula,” katanya selepas majlis pelancaran produk ‘Laghiz Cosmetic’ di Rumah Wartawan di sini hari ini.
Siti Syahirah berkata, pihaknya yang membuat RnD hingga ke Sabah telah menghasilkan lima produk setakat ini untuk memasuki pasaran iaitu serum berasaskan mutiara dan kolagen rumpai laut serta sabun daripada arang, kulit kayu manis, sireh dan kunyit.
Jelasnya, biarpun terdapat pelbagai jenama lain di pasaran namun beliau yakin produk kecantikan organik yang tidak mengandungi bahan kimia berupaya menambat hati pengguna.

“Kita orang Melayu sebenarnya ada banyak bahan alam semulajadi yang orang-orang dahulu manfaatkan untuk kehidupan seharian.
“Saya mahu tumpukan kepada kekuatan ini dan kongsi manfaatnya kepada semua peringkat umur tanpa mengira jantina, saya menyasarkan jenama ini mendapat tempat di pasaran seluruh negara dalam tempoh tiga tahun lagi,” katanya.
Buat permulaan, jenama ‘Laghiz Cosmetic’ yang berasal daripada perkataan laris atau laku kini mengembangkan sayap melalui pelantikan pengurus dan eksekutif jualan di lapan buah negeri. – UTUSAN ONLINE











