Sarri ancam tinggalkan Chelsea - Utusan Malaysia

Sarri ancam tinggalkan Chelsea

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON 22 Mei – Pengendali Chelsea, Maurizio Sarri mengancam untuk meninggalkan kelab London itu jika ‘diwajibkan’ menewaskan Arsenal dalam final Liga Europa pada 30 Mei ini bagi menyelamatkan jawatannya.

Akhbar Britain, The Sun melaporkan, juara Serie A, Juventus sudah bersedia menawarkan kontrak kepada pengendali kelahiran Itali itu seandainya dia mengambil keputusan meninggalkan Blues.

Sarri berjaya membawa Chelsea menghuni tangga ketiga Liga Perdana musim ini, selain menempatkan diri dalam dua perlawanan akhir merebut piala.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jurulatih berusia 60 tahun itu bagaimanapun berang apabila ditanya, apakah jawatannya menjadi pertaruhan seandainya Chelsea gagal menewaskan Arsenal dalam saingan Liga Europa, Khamis depan.

“Kalau situasinya adalah begitu (perlu mengalahkan Arsenal untuk menyelamatkan jawatan), maka saya akan pergi serta merta.

“Selepas 10 bulan bekerja di sini, saya kini sedang menyiapkan pasukan untuk menghadapi 90 minit permainan merebut kejuaraan, jadi (bercakap tentang masa depan) bukan cara yang betul.

“Kami mengharungi musim yang baik. Sudah tentu, menjuarai Liga Europa adalah penamat terbaik tetapi saya percaya, apa pun keputusan yang bakal dicatat, pasukan ini berhak menerima pujian dan mempunyai masa depan yang cerah,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Latihan Chelsea di sini, hari ini.

Sarri juga menyifatkan, musim pertamanya di England berjalan dengan ‘amat baik’ meskipun mengakui masih banyak yang perlu diperbaiki di Stamford Bridge. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini