Salur maklumat kenderaan guna lorong kecemasan - Utusan Malaysia

Salur maklumat kenderaan guna lorong kecemasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 26 Mei – Kerajaan mengalu-alukan usaha orang ramai menyalurkan maklumat mengenai perbuatan pemandu kenderaan yang sengaja menggunakan lorong kecemasan di lebuh raya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memerlukan maklumat yang tepat dan lengkap termasuk nombor pendaftaran kenderaan serta lokasi bagi memudahkan tindakan diambil.

“Mereka boleh merakam gambar perbuatan itu dan serahkan kepada JPJ untuk tindakan selanjutnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagaimanapun, orang ramai tidak boleh mengambil tindakan sendiri dan perlu serahkan kepada pihak berkuasa untuk disiasat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu sempena Hari Raya Aidilfitri peringkat kebangsaan 2019, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Dalam perkembangan lain, Siew Fook berkata, Persatuan Pemandu Grab Malaysia (GDMA) tidak sepatutnya terkejut dengan kadar kegagalan pemandu e-hailing dalam peperiksaan Lesen Vokasional (PSV-Teksi/E-hailing) yang sangat tinggi.

“Dalam sesuatu ujian, ada yang lulus dan gagal. Jika semua lulus bukan namanya ujian. Kalau nak luluskan semua nanti jadi masalah integriti.

“Pemandu perlu ada kesedaran dan pengetahuan yang mencukupi sebelum menduduki ujian,” ujarnya.

GDMA sebelum ini dilaporkan terkejut dengan kadar pemandu e-hailing yang lulus dalam ujian itu hingga memaksa mereka mengeluarkan sejumlah wang untuk menduduki semula ujian itu.

Ditanya mengenai dakwaan GDMA bahawa rata-rata institut memandu belum bersedia melaksanakan kursus PSV kepada hampir 200,000 pemandu e-hailing di seluruh negara, Siew Fook bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Saya akan jawab selepas raya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini