LONDON 13 Mei – Sadio Mane dan Pierre-Emerick Aubameyang masing-masing meledak dua gol pada hari terakhir Liga Perdana Inggeris untuk berkongsi anugerah Kasut Emas penjaring terbanyak bersama Mohamed Salah.
Ketiga-tiga pemain menamatkan kempen dengan 22 gol manakala penyerang Manchester City, Sergio Aguero mengekori dengan satu gol di belakang.
Menurut peraturan Liga Perdana, setiap pemain yang berjaya meledak gol terbanyak sepanjang musim akan diberi penghormatan atas pencapaian mereka tidak kira berapa ramai yang berkongsi kedudukan itu.
Ini adalah Kasut Emas kedua berturut-turut buat Salah selepas muncul penjaring terbanyak musim lalu dengan 32 gol.
Pastinya anugerah tersebut sedikit sebanyak mengubati kekecewaan Reds gagal menjuarai Liga Perdana musim ini biarpun mengalahkan Wolverhampton 2-0 dalam aksi terakhir.
Kemenangan 4-1 City ke atas Brighton membolehkan skuad The Citizens mempertahankan gelaran, sekali gus menjadi pasukan pertama dalam tempoh 10 tahun berjaya mengulangi pencapaian itu. – AGENSI
SENARAI AKHIR PENJARING TRBANYAK
Mohamed Salah Liverpool 22
Sadio Mane Liverpool 22
Pierre-Emerick Aubameyang Arsenal 22
Sergio Aguero Manchester City 21
Jamie Vardy Leicester City 18
Harry Kane Tottenham 17
Raheem Sterling Manchester City 17
Eden Hazard Chelsea 16
Callum Wilson Bournemouth 14











