Robben, Ribery menangis di hari terakhir - Utusan Malaysia

Robben, Ribery menangis di hari terakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERLIN 19 Mei – Suasana sedih menyelubungi dua pemain veteran Bayern Munich, Arjen Robben dan Frank Ribery pada hari terakhir mereka bersama kelab itu yang baharu ditabalkan sebagai juara Bundesliga buat kali ketujuh berturut-turut.

Kedua-dua mereka akan meninggalkan Bayern penghujung musim ini selepas lebih 10 tahun menabur bakti bersama kelab gergasi Jerman itu. Lebih istimewa mereka berdua turut menjaringkan gol ketika menewaskan Eintracht Frankfurt 5-1 pada aksi terakhir musim awal hari ini.

“Selepas perlawanan terakhir seperti ini, terlalu banyak emosi perlu saya lalui meliputi seluruh badan rasanya. Ia tidak boleh diterjemahkan dengan kata-kata dan dalam waktu sama tidak boleh juga mengelak daripada melaluinya,” kata Robben.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ia satu detik istimewa apabila pada hari terakhir di sini kami berjaya merangkul juara liga apatah lagi dengan kehadiran ahli keluarga saya yang datang dsari Perancis,” kata Ribery pula.

Pemergian dua pemain berpengalaman itu juga adalah petanda Bayern kini sudah bersedia untuk merombak pasukan secara besar-besaran dengan membawa masuk pemain generasi baharu yang lebih muda dan bertenaga.

Presiden kelab, Uli Hoeness sendiri mengakui, Bayern akan melakukan program pelaburan terbesar dalam sejarah selepas ini dengan muka baharu dijangka membarisi skuad itu musim depan.

Pemain-pemain sedia ada seperti Leon Goretzka dan Serge Gnabry akan diberi peranan lebih besar untuk mengemudi kelab itu selain mempertaruhkan dua pemain yang baharu ditandatangani seperti Benjamin Pavard dan Lucas Hernandez.

Selain itu, beberapa pemain berbakat besar seperti Timo Werner dari RB Leipzig, pemain pertahanan, Matthijs De Ligt dari Ajax dan penjaga gol, Alexander Nuebel dari Schalke turut dikaitkan dengan Bayern sejak beberapa bulan lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Bayern, Karl-Heinz Rummenigge berkata, pihaknya juga sedang mencari pemain sayap yang baharu untuk memperkuatkan cabaran kelab tersebut.

“Memandangkan kami kehilangan khidmat Robben dan Ribery, kami memerlukan pemain sayap alternatif untuk bergandingan dengan pemain berusia 18 tahun dari Kanada, Alphonso Davies,” kata Rummenigge bulan lalu.

Pilihan yang ada setakat ini adalah bintang berbakat Chelsea, Callum Hudson-Odoi yang pernah diburu Bayern ketika jendela perpindahan Januari lalu.

Barisan depan Bayern pula akan dikemudikan Kingsley Coman, 22, dan Gnabry, 23, untuk berganding dengan Niklas Suele, 23 yang dianggap sebagai pengganti Mats Hummels dan Jerome Boateng di benteng pertahanan.

Thomas Mueller juga ketika ini sudah ada pengganti seperti Leon Goretzka. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini