SIK – Sekumpulan remaja lelaki seawal usia 15 tahun antara yang ditahan dan dikenakan saman dalam Op Motosikal di Jalan Kampung Pasir Puteh di sini semalam.
Kumpulan remaja bawah umur itu antara 25 penunggang motosikal berusia antara 15 hingga 21 tahun yang ditahan dalam operasi yang dilakukan di lokasi tersebut kira-kira pukul 5.30 petang.
Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, operasi dilakukan di jalan tersebut yang menjadi tumpuan remaja bermotosikal berhimpun hampir setiap petang.
“Hasil operasi yang dilakukan, kita berjaya menahan seramai 25 penunggang motosikal termasuk remaja belasan tahun atas pelbagai kesalahan jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata beliau, dalam operasi Op Motosikal yang bermula pada pukul 5 petang hingga 9 malam itu, sebanyak 75 motosikal diperiksa dan 66 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
“Kesalahan melibatkan tidak mempunyai lesen memandu (6), Lesen Kenderaan Motor (9), insurans perlindungan (8), cermin sisi (7), topi keledar (14), kesalahan nombor plat (8), bawah umur 16 tahun (5), gagal berhenti (12) dan aksesori tidak lengkap (2),” ujarnya.
Tambahnya, pihaknya menyita 14 motosikal antaranya jenis Modenas Kriss, Honda EX5, Yamaha 125Z dan Yamaha LC.
“Motosikal disita atas pelbagai kesalahan seperti cukai jalan tamat tempoh dan tiada lesen memandu,” katanya. – K! ONLINE











