BERLIN 24 Mei -Jurulatih RB Leipzig, Ralf Rangnick memenangi final Piala Jerman menentang Bayern Munich malam esok bukan sekadar merangkul satu trofi tetapi mencipta satu sejarah buat kelab.
Rangnick, yang mengambil alih sebagai pengarah sukan di Leipzig pada 2012 dan sejak itu dua kali bertindak sebagai ketua jurulatih, adalah pencetus kebangkitan kelab itu daripada liga bawahan hingga ke liga utama Jerman sejak kelab itu ditubuh pada 2009.
Dia menggambarkan tujuh tahun hubungan dengan kelab kontroversi Leipzig dan berharap untuk memenangi kejuaraan utama pertama dalam sejarah singkat mereka di Stadium Olimpik, Berlin.
“Apabila saya mengimbau semula tujuh tahun saya berada di sini, ia kelihatan seperti lebih lama,” katanya kepada majalah Kicker awal bulan ini.
Kejayaan Leipzig mencabar penguasaan dua kelab utama Bundesliga iaitu Bayern dan Borussia Dortmund, bagaimanapun turut berdepan desakan penyokong di negara itu kerana membantah model perniagaan kontroversi kelab tersebut.
“Untuk memenangi kejuaraan pertama dalam ulang tahun ke-10 kami menentang Bayern Munich akan melengkapkan satu musim luar biasa,” katanya.
Leipzig ditubuh oleh syarikat minuman tenaga Red Bull pada 2009 dan pantas mendaki piramid liga dengan melonjak dari divisyen kelima ke liga utama pada 2016. – AFP











