Raya terakhir sebagai duda - Utusan Malaysia

Raya terakhir sebagai duda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK mahu lagi menyembunyikan perasaan cemburu apabila melihat rakan-rakan lain bahagia di samping isteri dan anak-anak, terdetik di hati Issey Fazlisham untuk kembali berumah tangga. Perasaan itu sudah lama wujud, namun dalam tempoh itu dia masih mencari seorang wanita yang sesuai untuk dijadikan isteri.

Kini selepas tiga tahun bergelar duda, dia yakin tahun hadapan adalah waktu yang sesuai untuknya kembali menggalas gelaran seorang suami sekali gus merealisasikan impian untuk menyambut Aidilfitri dengan kehadiran seorang suri hati.

“Melihat kehidupan rakan-rakan dengan isteri dan anak-anak memang terdetik dalam hati saya

Memuatkan artikel berkaitan…
 

untuk turut merasai pengalaman yang sama.

“Buat masa ini memang saya sedang berkawan dan pengakuan ini sebenarnya adalah satu lagi peringkat untuk memberitahu yang saya sudah bersedia meninggalkan status duda,” katanya ketika ditemui pada sesi rakaman sitkom Jenaka Kampung Kalut (JKK) Raya di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, baru-baru ini.

Enggan mendedahkan siapa wanita yang dimaksudkan, kongsi Issey atau nama sebenarnya Fazlisham Mat Hussin, 32, ketika ini hubungannya dengan wanita tersebut masih berada pada fasa mengenali.

Namun Issey berjanji untuk mendedahkan identiti wanita itu dalam tempoh enam bulan lagi.

“Berkenalan sebagai seorang rakan dan kini kami saling mengenali hampir setahun. Bagaimanapun saya tak boleh dedahkan identiti si dia memandangkan kami masih dalam fasa mengenali hati budi masing-masing.

“Walaupun tidak berbincang ke arah perkahwinan, namun rasanya kami sudah saling memahami.

“Berikan tempoh enam bulan sebelum saya boleh umumkan sebarang berita. Jadi dalam waktu ini saya memang tidak boleh jawab sama ada dia orang industri atau tidak,” jelasnya.

Ditanya sama ada perkenalannya dengan wanita itu berlaku menerusi laman sosial, kata Issey, sejak dahulu lagi dia sudah berjanji tidak mahu berkenalan melalui platform tersebut.

“Saya memang sudah cakap tidak mahu berkenalan melalui laman sosial, jadi perkenalan saya dengan dia bukan melalui cara tersebut.

“Kalau boleh saya tidak mahu menjalinkan hubungan terlalu lama. Malah, saya sasarkan akan berkahwin pada tahun depan. Harapan saya, biarlah tahun ini menjadi pengalaman terakhir saya beraya sebagai orang bujang,” jelasnya.

Mengakui status duda cukup sebati dengan dirinya, Issey tidak menolak jika benar ada rezeki untuk dia kembali berumah tangga, pasti bukan mudah untuk menerima kenyataan yang dia akan meninggalkan dunia ‘bujang’.

“Bila ada yang kata sayang tinggalkan dunia janda, saya akui ada perasaan yang sama untuk saya tinggalkan dunia duda.

“Tetapi bila fikir sampai bila mahu berada pada fasa yang sama. Sebagai seorang lelaki memang saya mempunyai impian untuk mempunyai keluarga sendiri,” katanya jujur.

Tidak berselindung dengan kesilapan lalu, kata Issey, sebagai seorang yang pernah berumah tangga, ada pengajaran yang perlu diambil darinya.

Apa yang dia belajar sepanjang bergelar duda adalah memperbaiki pengetahuan agama dan lebih mengutamakan kesabaran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini