KUALA LUMPUR 8 Mei – Kampung Baru cukup sinonim dalam kalangan warga kota khususnya orang Melayu, lebih-lebih lagi struktur geografinya yang terletak di tengah-tengah ibu negara.
Setiap kali menjelang Ramadan, Kampung Baru tentunya menjadi tumpuan pengunjung bukan sahaja dari wilayah ini tetapi juga luar Kuala Lumpur untuk menikmati keenakan juadah berbuka puasa yang terdapat di Bazar Ramadan Jalan Raja Alang.
Kampung Baru juga cukup terkenal dengan menu bubur lambuk sejak zaman-berzaman. Maka tidak hairanlah juga bubur lambuk menjadi antara menu yang popular dan menjadi tumpuan di Kampung Baru.
Sebut sahaja Kampung Baru, pasti akan teringat bubur lambuk pada bulan Ramadan.
Terdapat juga beberapa gerai dan pengusaha yang menjadikan bubur lambuk sebagai punca pendapatan mereka sepanjang bulan Ramadan ini.
Jika anda penggemar bubur lambuk dan ingin menjadikannya sebagai juadah berbuka puasa, singgah sahaja di bazar Ramadan Jalan Raja Alang.
Bukan itu sahaja, selain bubur lambuk, Bazar Ramadan Jalan Raja Alang juga popular dengan pelbagai juadah menyelerakan termasuklah lauk-pauk, kuih muih dan pelbagai juadah enak yang dijual bermula dari pukul 4 petang sehingga jam 8 malam. – UTUSAN ONLINE











