BAGI saya sendiri, ada sebab untuk lebih mensyukuri nikmat Ramadan kali ini. Ini terutamanya selepas Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) meluluskan penubuhan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), dua hari selepas umat Islam mula berpuasa. Alhamdulillah saya ucapkan.
Pun begitu, Ramadan juga menguji keimanan kita dalam konteks perjuangan. Isu matrikulasi yang diwujudkan bagi membantu bumiputera dipolitikkan bukan sahaja oleh DAP tetapi pemimpin Melayu sendiri.
Ada pemimpin Melayu yang tergamak menggelar matrikulasi sebagai pintu belakang dan ada juga Melayu yang setelah kaya raya, mendakwa matrikulasi sudah tidak perlu lagi.
KEDUDUKAN MELAYU DAN BUMIPUTERA PASCA PRU-14
Suara siapa yang diperjuangkan pemimpin Melayu ini? Nadanya sama dan seirama dengan DAP yang memperjuangkan Malaysian Malaysia.
Banyak lagi isu melibatkan kepentingan Melayu dan bumiputera yang sepatutnya dipertahankan, tetapi pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kita lihat semuanya membawa nada seperti DAP.
Begitu juga dalam soal Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC). Pandangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menolak cadangan ini sebelum kepimpinan tertingginya bertukar langsung tidak diambil kira.
Menteri Dalam Negeri juga tunduk kepada kehendak kelompok tertentu, yang ramai sudah tahu siapa mereka ini semua.
Terbaharu kita dikejutkan dengan penarikan diri peguam mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam inkues kematian Muhammad Adib Mohd. Kassim.
Ia dikatakan berpunca daripada ‘tangan ghaib’ kepimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Jabatan Peguam Negara. Pada saya apa yang berlaku ini jelas konspirasi.
Ketika artikel ini ditulis, saya tidak mendengar atau membaca sebarang kenyataan oleh mana-mana pemimpin PH yang mendesak Tommy Thomas memberi penjelasan serta membela keadilan untuk Muhammad Adib.
Ke mana perginya pemimpin-pemimpin Melayu dalam PH yang mendakwa mereka akan membela orang Melayu dan bumiputera? Apakah mereka ini tidak malu digelar bacul?
LAHIRNYA PUTRA
Perkembangan semasa ini menggusarkan banyak pihak terutama orang Melayu dan bumiputera.
Matrikulasi, IPCMC dan Muhammad Adib hanya sebahagian kecil daripada banyak lagi ancaman ke atas orang Melayu dan bumiputera, antaranya hak keistimewaan kontrak sosial, pembahagian kek ekonomi, Raja-raja dan agama Islam yang cuba dirobekkan.
Makanya apabila Putra diluluskan penubuhannya, saya teramat bersyukur kerana ia lahir ketika orang Melayu dan bumiputera sedang ditekan.
Ketika pemimpin-pemimpin Melayu hipokrit yang hanya mementingkan kuasa, sekadar berkokok kononnya membela orang Melayu dan menjaga Islam tetapi hakikatnya tunduk kepada puak-puak tertentu.
Ini kerana Putra ditubuhkan atas kesedaran dan keinsafan untuk sepenuhnya membela kepentingan orang Melayu dan bumiputera tanpa sebarang rasa apologetik.
Putra ditubuhkan selepas kita mengambil maklum semua pandangan, berbincang siang malam dan saya sendiri istikharah memohon petunjuk Allah.
Putra juga adalah fasa baharu dalam perjuangan saya membela kepentingan Melayu dan bumiputera selepas 11 tahun berhempas pulas, berkorban tenaga, masa dan wang ringgit sewaktu dalam Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).
Ini kesinambungannya dan dengan kepimpinan bersih terdiri daripada gabungan golongan profesional, tokoh akademik serta mereka berpengalaman, Putra adalah wadah baharu politik negara.
BUKAN PEMECAH BELAH TETAPI ALTERNATIF
Putra bukanlah penyebab kepada perpecahan orang Melayu seperti didakwa segelintir pihak termasuk tokoh Perlembagaan dan akademik. Putra lahir untuk mewarnai sistem demokrasi Malaysia.
Realitinya, Melayu berpecah akibat politik sudah lama, bukan disebabkan Putra. Jika kita boleh menerima UMNO dan Pas sebagai parti Melayu, kenapa kita tidak boleh terbuka terhadap parti lain?
Kenapa apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ditubuhkan, isu perpecahan Melayu tidak dilaungkan?
Kenapa ketika Parti Amanah Negara (Amanah) diwujudkan, suara kebimbangan tidak kedengaran?
Realitinya, kaum Cina juga ada banyak parti politik, ada DAP, MCA dan Gerakan, tetapi kenapa orang Cina boleh bersatu dan memberi undi sehingga 95 % kepada DAP pada PRU-14 lalu?
Sebab DAP memainkan sentimen cauvanis Cina dan tidak tunduk kepada mana-mana pihak dalam memperjuangkan kepentingan kaum Tionghoa.
Hal ini gagal dimainkan UMNO. UMNO tunduk banyak perkara dalam soal kepentingan Melayu hanya kerana mahu menjaga hati bukan Melayu.
Pas juga bertindak serupa terutamanya ketika mereka bersama DAP dalam Pakatan Rakyat. Makanya Putra adalah alternatif dan bukan pemecah-belah orang Melayu.
Putra tidak akan sesekali tunduk kepada mana-mana pihak dalam mempertahankan hak-hak orang Melayu dan bumiputera sebagaimana yang sudah dijamin Perlembagaan.
Jika kaum Cina ada DAP dalam memperjuangkan kepentingan kaum mereka, Melayu kini ada Putra. Beri peluang kepada Putra dan selepas itu nilailah kami.











