KLANG 15 Mei – Setelah hampir sebulan kontroversi berhubung menceraikan isteri melalui aplikasi WhatsApp, Mahkamah Rendah Syariah di sini mengesahkan status rumah tangga ustaz selebriti, PU Abu dan Ain ‘Afini Latif masih sah sebagai suami isteri.
Hakim Syarie Mohd. Nurulazhar Mohd. Tohar membuat keputusan selepas mendapati lafaz cerai dibuat Mohammad Abu Sufyan Mohd. Mokhtar Rozaidi, 25, adalah tidak sah.
Mohd. Nurulazhar dalam penghakiman memberitahu lafaz cerai yang dibuat adalah secara bertulis dan merupakan kinayah serta perlu bersumpah.
“Abu Sufyan, sebagai suami perlu jaga isteri dan jaga anak dalam kandungan.
“Orang mengandung ini lain perasaan mereka dan jangan lepas tangan,” jelasnya ringkas.
Mahkamah turut memerintahkan pasangan tersebut mendaftar lafaz rujuk cerai mereka pada 23 Februari lalu selepas mendapati lafaz rujuk itu sah. – UTUSAN ONLINE











