JOHOR BAHRU 27 Mei – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua menahan sebuah bot pukat tunda di Perairan Semerah, Batu Pahat pada pukul 8.30 pagi semalam.
Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, bot berkenaan ditunda menerusi Op Gelora yang dijalankan pihaknya.
“Ketika ditahan, bot pukat tunda itu dikemudikan seorang juragan bersama-sama dua awak-awak.
“Turut dirampas lebih kurang 200 kilogram ikan pelbagai jenis,” katanya dalam satu kenyataan, di sini sebentar tadi.
Penahanan bot tersebut dibuat kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) dan Seksyen 14 (4) (b) Akta Perikanan 1985 dan Boat Rules 1985.
Tambah Khon Chiang, pihaknya akan meneruskan operasi berkenaan bagi memastikan pengusaha perikanan mematuhi peraturan ditetapkan.
“Ini termasuklah isu pencerobohan nelayan pukat tunda ke kawasan nelayan tradisional,” katanya. – UTUSAN ONLINE











