Polis tumpaskan sindiket seludup keluar warga Sri Lanka - Utusan Malaysia

Polis tumpaskan sindiket seludup keluar warga Sri Lanka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 14 Mei – Polis menahan 11 individu termasuk tiga warga tempatan selepas dipercayai terlibat dalam rangkaian sindiket penyeludupan migran ke Eropah dan pemalsuan dokumen perjalanan Malaysia.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, Polis Diraja Malaysia telah melancarkan satu operasi pada 30 April lalu untuk memburu rangkaian sindiket tersebut yang dikesan beroperasi sejak pertengahan 2018.

“Dalam tangkapan pertama, kita telah menahan dua wanita yang terdiri daripada warga tempatan dan Sri Lanka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, Selangor semasa mereka cuba berlepas ke negara Eropah dengan menggunakan pasport Malaysia yang telah dipalsukan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Empat lagi suspek yang terdiri daripada tiga warga Sri Lanka dan seorang warga Jerman ditahan di sekitar ibu negara kerana terlibat dalam kegiatan penyeludupan migran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Abdul Hamid berkata, operasi diteruskan lagi dengan satu tindakan susulan pada 2 Mei lalu dengan menahan lima lagi suspek yang terdiri daripada dua warga tempat serta tiga warga Sri Lanka di sekitar Selayang.

“Lima daripada suspek yang terdiri daripada warga tempatan, Sri Lanka dan Jerman akan disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 dan Akta Antipemerdagangan Orang Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Manakala enam lagi migran Sri Lanka akan dituduh di bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk dan cuba keluar dari Malaysia melalui jalan yang tidak sah atau jalan tidak diwartakan,” jelasnya.

Menurut Abdul Hamid, dengan tangkapan itu pihaknya telah berjaya melumpuhkan satu rangkaian sindiket penyeludupan migran yang licik.

Tambahnya, usaha ke arah mengesan dan membanteras rangkaian penyeludupan migran akan terus dipertingkatkan oleh PDRM demi memastikan aktiviti penyeludupan migran dapat dibanteras sepenuhnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini