KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan sindiket sijil cuti sakit palsu menggunakan nama hospital kerajaan dengan menahan empat individu di sekitar Lembah Klang di sini pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd. Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, sindiket tersebut sudah aktif sejak setahun lalu dengan menjual sijil cuti sakit kepada pelanggan dengan harga RM20 hingga RM25 sekeping.
“Tangkapan pertama yang dibuat pada 9 Mei lalu telah menahan tiga individu termasuk seorang wanita warga tempatan di Jalan Hamzah, Kampung Baru di sini kira-kira pukul 4.30 petang.
“Polis juga merampas dua buah buku dan 42 keping sijil cuti sakit hospital kerajaan yang disyaki palsu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini.
Antara contoh sijil cuti sakit palsu yang dirampas. Mohon blurkn nama yaMohd. Fahmi menambah, hasil soal siasat kemudiannya telah membawa pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Dang Wangi kepada dua serbuan di Rawang dan Kampung Tasek Tambahan, Ampang, Selangor pada hari yang sama pukul 12.30 tengah hari dan pukul 8.30 malam.
“Polis juga menahan lelaki warganegara tempatan dan merampas 67 cop dengan nama doktor daripada pelbagai hospital, 63 buah buku sijil cuti sakit, 16 buah buku resit rasmi klinik, satu unit stamp dan satu unit telefon bimbit.
“Siasatan awal polis mendapati suspek membeli buku sijil cuti sakit dan cop daripada rakannya di Kelantan dan cop getah di kedai sekitar Pudu di sini. Mereka kemudiannya menjualnya melalui WeChat dan rakan terdekat,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini hari ini.
Beliau berkata, kebanyakan pelanggan mereka adalah pekerja kakitangan awam dan swasta dan urusan jual beli dijalankan di sekitar Kampung Baru dan Danau Kota, Setapak di sini.
“Mereka turut menjual secara pukal dengan sebuah buku sijil itu bernilai RM400 hingga RM450.
“Kesemua suspek direman sehingga Isnin lalu dan sudah dibebaskan dengan jaminan polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – K! ONLINE











