KUALA LUMPUR 28 Mei – Polis sedang meneliti semula kesemua 17 laporan polis dibuat terhadap seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat telekomunikasi termasuk dakwaan mencabul anaknya sendiri.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, memang terdapat beberapa kes yang diklasifikasikan sebagai ‘tiada tindakan lanjut’ (NFA) berikutan tidak cukup keterangan serta bukti.
“Bagaimanapun, untuk kes terbaharu iaitu menceroboh dan melakukan ugutan jenayah yang dilaporkan bekas isteri suspek pada minggu lalu, kita masih jalankan siasatan mengikut Seksyen 448 dan 506 Kanun Keseksaan.
“Kini kita sudah mula menyemak satu persatu laporan dibuat terhadap bekas CEO berusia 44 tahun bermula minggu lalu, sekiranya ada petunjuk baharu, dan ada keperluan untuk merekod keterangan lanjut, kita akan lakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Bungkusan Kuih Raya Polis Diraja Malaysia sempena Hari Raya Aidilfitri 2019 di Bukit Aman di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed ketika mengulas lanjut berkata, bagi laporan baharu dibuat terhadap suspek pihaknya mempunyai bukti untuk membuat tuduhan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu melakukan ugutan jenayah.
“Laporan polis dibuat terhadap suspek dibuat sejak 2013 atau 2014 namun berikutan tidak cukup bukti untuk membuka kertas siasatan, beberapa kes terpaksa diklasifikasikan sebagai NFA.
“Tapi kita tidak menutup terus kes tersebut, sekiranya ada bukti baharu, kita akan siasat semula,” ujarnya.
Sebelum ini, sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan bekas CEO sebuah syarikat telekomunikasi ditahan minggu lalu selepas didakwa mencabul anak gadisnya.
Difahamkan, lelaki itu ditahan selepas bekas isterinya membuat sekurang-kurangnya 15 laporan polis sejak tahun 2015 iaitu selepas pasangan itu berpisah.
Bekas CEO itu ditahan di Balai Polis Hulu Kelang Khamis lalu selepas didakwa menceroboh masuk ke rumah bekas isterinya.-UTUSAN ONLINE











