JOHOR BAHRU 12 Mei – Polis Johor merekodkan sebanyak 761 pelbagai kes jenayah bermula 1 Januari hingga 7 Mei berbanding 924 kes dalam tempoh sama tahun lalu, ia menunjukkan kadar penurunan sebanyak 163 kes atau 17.64 peratus.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Kamarudin Md. Din berkata, jumlah itu direkodkan sepanjang Operasi Khas Pemutihan dijalankan di daerah Johor Bahru.
Menurutnya, operasi khas itu dijalankan bagi membanteras pelbagai kesalahan jenayah sejajar usaha memastikan bandar raya ini bebas daripada masalah sosial, penagihan dadah, jenayah ragut dan gelandangan.
“Operasi Khas Pemutihan itu digerakkan bagi memastikan negeri ini bersedia menerima ribuan pelancong sempena Tahun Melawat Johor 2020 sekali gus selamat dikunjungi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, dengan kejayaan itu, Operasi Khas Pemutihan akan diperluaskan sekali gus dilaksanakan di semua daerah di negeri ini.
Tambahnya, semua Ketua Polis Daerah sudah diarahkan untuk melaksanakan operasi tersebut di kawasan masing-masing di lokasi yang dikenal pasti terdedah kepada jenayah penagihan dadah, jenayah ragut dan gelandangan serta tempat sering berlakunya gejala sosial. – UTUSAN ONLINE











