KUALA LUMPUR 20 Mei – Polis sedang mengesan tiga lelaki berhubung siasatan kes video tular berkenaan isu tarik kereta yang tular di laman sosial hari ini.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S. Shanmugamoorthy Chinniah berkata, video tersebut dirakamkan pada 17 Mei lalu kira-kira pukul 3 petang.
“Mangsa yang berusia 32 tahun mendakwa yang dia mendapat panggilan nombor tidak diketahui memberitahu keretanya menghalang laluan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dan minta dialihkan.
“Sejurus tiba di kenderaan, mangsa mendapati terdapat 3 lelaki bersama sebuah lori tunda memberitahu bahawa kenderaannya mempunyai tunggakan selama 19 bulan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut S. Shanmugamoorthy, mangsa cuba menghubungi bank untuk mendapatkan kepastian tetapi telah dihalang suspek.
Jelasnya, polis yang tiba di lokasi kejadian telah meminta kedua-dua pihak hadir ke balai untuk membuat laporan polis.
“Tiga lelaki itu gagal hadir ke balai polis dan mangsa turut mendakwa dia tidak pernah menerima sebarang notis tunggakan dari bank,” ujarnya.
Tambahnya, usaha untuk mengesan kesemua suspek sedang dilakukan dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE











