LONDON 14 Mei – Paul Pogba perlukan masa setahun untuk kembali ke prestasi terbaik bersama Manchester United selepas merangkul Piala Dunia pada 2018, kata Youri Djorkaeff.
Bintang Perancis itu berdepan kempen mengecewakan di Old Trafford selepas bermula cemerlang di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer yang menggantikan Jose Mourinho namun menamatkan musim ini dengan keputusan tidak baik.
Dia terlibat dengan konfrontasi bersama beberapa penyokong United, Ahad lalu ketika berjalan mengelilingi padang dalam aksi terakhir yang menyaksikan mereka tewas 0-2 kepada Cardiff.
Walaupun berdepan pelbagai kritikan, Pogba berjaya menamatkan saingan musim ini dengan 13 gol selain sembilan bantuan jaringan, mengatasi rakan sepasukannya yang lain dan berada dalam senarai calon Pemain Terbaik PFA.
Djorkaeff yang juga pemain dalam skuad Perancis yang menjulang Piala Dunia 1998 di laman sendiri berpendapat, Pogba sedang mengalami musim sukar tetapi masih boleh diterima.
“Apabila awak menang Piala Dunia, tahun berikutnya akan menjadi sukar buat semua pemain, bukan sahaja Pogba.
“Bagi mana-mana juara dunia, kesan itu akan berlarutan selama setahun. Tahun hadapan, Pogba akan kembali ke prestasi terbaiknya.
“Dia akan tampil lebih cemerlang berbanding semasa di bawah kendalian Mourinho,” katanya.-AGENSI











