KUALA LUMPUR 15 Mei – Pengendali Petaling Jaya City (PJ City), K. Devan seperti tidak percaya anak buahnya mampu melakar kemenangan 5-3 ke atas Terengganu FC (TFC) terutama beraksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.
Tambahnya, dia turut menyifatkan kemenangan itu adalah luar biasa setelah pasukannya ketinggalan 0-3 pada babak pertama sebelum bangkit menjaringkan lima gol dalam babak kedua dan turut memuji kekuatan mental pemain-pemain PJ City.
“Saya tidak sangka keputusan malam ini (tadi), tidak mungkin berlaku apabila kami menentang TFC di tempat mereka.
“Dalam bola sepak, perkara luar biasa boleh berlaku dan bagi saya, ini adalah luar biasa,” jelasnya dalam sidang media.
Dalam aksi itu, TFC bermula garang apabila mendahului 3-0 menerusi Kipre Tchetche pada minit ke-11 disusuli jaringan Nabil Ahmad Latpi (m-17) dan Ashari Samsudin, dua minit selepas itu.
Namun, PJ City bangkit untuk mengikat kedudukan 3-3 bermula dengan jaringan Elizeu Araujo Batista pada minit ke-49 diikuti gol pantas daripada Pedro Henrique pada (m-56) serta Washington Dos Santos pada (m-57).
Zamri Pin Ramli kemudian meletakkan PJ City di depan pada minit ke-77 sebelum Henrique melengkapkan kemenangan bergaya pasukannya dengan gol kelima melalui tandukan tiga minit kemudian.
“Saya lihat pemain-pemain mengambil masa yang agak lama untuk mendapatkan rentak dan akibatnya, kami bolos tiga gol dengan begitu cepat. Kami berjaya mencipta peluang pada penghujung babak pertama dan dari situ, saya nampak tanda-tanda kebangkitan.
“Gol awal selepas rehat memberi semangat baru dan kami berjaya menjaringkan gol kedua dan ketiga dalam tempoh hanya setengah minit,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











