Petronas selesai pemindahan STS pukal pecah LNG kedua untuk penghantaran ke China - Utusan Malaysia

Petronas selesai pemindahan STS pukal pecah LNG kedua untuk penghantaran ke China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 2 Mei – Petroliam Nasional Bhd. (Petronas), melalui anak syarikatnya, Petronas LNG Ltd. (PLL), mengukuhkan kedudukannya sebagai penyedia penyelesaian gas asli cecair (LNG) melalui selesainya pemindahan kapal ke kapal (STS) pukal pecah LNG kedua di Brunei Bay, baru-baru ini.

Naib Presiden Pemasaran dan Perdagangan LNG Petronas, Ahmad Adly Alias berkata, STS itu untuk penghantaran ke China.

“Ini merupakan operasi STS kedua oleh Petronas, sekali gus menunjukkan keupayaan syarikat untuk respons kepada landskap penghantaran LNG dan permintaan pelanggan yang berubah bagi penyelesaian yang disesuaikan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada masa sama, ia menyokong pertumbuhan pasaran LNG di kawasan yang mempunyai parameter operasi yang terhad,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi pukal pecah itu menyaksikan kapal Seri Bijaksana dengan muatan penuh membawa kargo LNG dari Gladstone LNG, Australia, memindahkan bungkusan lebih kecil ke dua kapal berukuran kecil untuk penghantaran seterusnya ke terminal LNG berbeza di Shanghai, China.

Kargo pertama dipindahkan daripada kapal berukuran besar kepada kapal berukuran kecil 80,000 m³, Arctic Spirit, manakala pemindahan kargo kedua dilakukan dengan satu lagi saiz kapal berukuran kecil yang sama, Polar Spirit.

“Pemindahan STS pukal pecah berturut-turut itu melalui kapal Arctic Spirit dan Polar Spirit selesai kira-kira 72 jam, menunjukkan prinsip yang tepat pada masa, memacu kos operasi kepada tahap minimum,” katanya.

Ahmad Adly menyifatkan kejayaan selesainya STS sebagai usaha kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan, iaitu Sabah Department of Ports and Harbours, Sabah Ports Authority, Sabah Ports Sdn. Bhd., Argo Engineering Sdn. Bhd., Eastport Marine Sdn. Bhd., MISC Bhd., Asian Supply Base Sdn. Bhd., Teekay LNG Partners L.P., dan Shenergy Group Co. Ltd.

Pada Jun 2018, Petronas menyelesaikan operasi STS pertamanya di tapak yang sama di Brunei Bay, lokasi yang digazetkan untuk operasi STS disebabkan perairannya yang tenang. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini