KOTA BHARU – “You are beautiful!” Begitulah kata-kata yang terpacul keluar dari mulut seorang pesakit di Wad Puteri, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) saat isteri kepada Tengku Mahkota Kelantan, Cik Puan Sofie Louise Johansson berada betul-betul di hadapan katilnya.
Hari ini, pesakit dan kakitangan di Wad Puteri dan Wad Anggerik hospital itu cukup ceria menerima kunjungan pasangan diraja apabila Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Faiz Petra dan isteri baginda yang berasal dari Sweden meluangkan masa lebih sejam bersama mereka.
Suri rumah, Nur Amira Lyana Abdul Hamid, 28, berkata, dia tidak menyangka dapat melihat malah berpeluang bersalam dengan Cik Puan Sofie dan menganggap ia rezeki anak dalam kandungannya.
“Saya baru sahaja masuk ke Wad Puteri semalam kerana masalah kurang air garam dalam badan.
“Saya sangat terpegun melihat kecantikan Cik Puan Sofie sebab itu secara spontan saya sebut ‘you’re beautiful. Saya harap orang tidak marah.
“Bila saya beritahu Tengku Mahkota bahawa saya suka melihat gambar isterinya dalam surat khabar, baginda menterjemahkannya kepada Cik Sofie yang kemudiaanya ketawa gembira,” katanya ketika ditemui semasa program ziarah pasangan diraja itu di sini hari ini.
Dalam program ziarah itu, Tengku Mahkota Kelantan dan isteri baginda telah menyampaikan sumbangan peribadi kepada 67 pesakit di Wad Puteri dan Wad Anggerik hospital berkenaan berjumlah RM300 seorang.
Dalam masa sama, baginda turut menyampaikan sumbangan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) berjumlah RM30,000 kepada Jabatan Kerja Sosial Perubatan HRPZ II untuk kegunaan pesakit asnaf hospital itu.
Yang turut hadir, Tengku Temenggong Kelantan yang juga Yang Dipertua Maik, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz; Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Zaini Hussin dan Pengarah HRPZ II, Datuk Dr. Selasawati Ghazali.
Semasa lawatan itu, pasangan diraja itu kelihatan sangat mesra dengan para pesakit malah Cik Puan Sofie bertanya khabar mereka dalam Bahasa Melayu.
Dalam pada itu, seorang lagi pesakit, Che Ku Bidah Che Ku Bedullah, 64, pula berkata, dia ‘bersyukur’ masuk hospital kerana dapat bertemu Tengku Mahkota dan isteri baginda.
“Seumur hidup saya inilah kali pertama saya dapat menjamah tangan raja,” katanya yang dirawat di hospital itu kerana demam. – K! ONLINE











