Brighton 11 Mei – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menyeru anak buahnya mempertahankan kelebihan satu mata yang ada ketika mereka kini berada di ambang untuk dinabotkan sebagai juara Liga Perdana Inggeris musim ini.
Hanya kemenangan akan mengesahkan gelaran itu berada dalam genggaman City apabila berkunjung ke Brighton esok dan sebarang keputusan selain daripada itu akan memusnahkan tembok pemisah yang telah dibina menerusi usaha keras yang tidak mengenal putus asa sebelum ini.
“Kami pernah ketinggalan tujuh mata di belakang Liverpool tetapi hari ini kami sudah berada satu mata di depan mereka. Jadi selepas penat lelah yang dilalui, sebaik-baiknya gunakan kelebihan itu untuk menamatkan musim ini dengan bergaya.
“Memang keadaan sekarang satu keistimewaan buat kami. Ia seperti bermimpi untuk berada pada situasi ini. Saya sendiri tidak menyangka kerana beberapa bulan lalu, kami ketinggalan tujuh mata di belakang Liverpool (Januari lalu).
“Tapi sekarang ia berbeza kerana kami sudah berada di atas mereka pula (walaupun satu mata sahaja). Kami mempunyai peluang lebih baik untuk muncul juara liga. Jadi apa yang perlu dilakukan ialah menang perlawanan terakhir dan itu sahaja yang perlu kami lakukan,” kata Guardiola.
Jika menang, City akan menutup tirai musim dengan mengumpul 98 mata – dua mata kurang ketika mencipta rekod pungutan mata terbanyak kelab itu dalam satu musim pada musim lalu.
Malah City juga berpeluang mencipta satu lagi rekod musim ini apabila mereka kini berada di landasan terbaik untuk meraih tiga trofi (treble) jika muncul juara liga. Sebelum ini mereka sudah pun merangkul Piala Liga dan minggu depan akan beraksi pada final Piala FA menentang Watford.
“Jadi kami kena lengkapkan tugas ini jika tidak mahu teruk dikritik. Lihat sahaja apa yang berlaku di Liga Juara Juara Eropah. Apabila (Barcelona dan Ajax) kalah sekali, semua orang mengutuk pemain, pengurus dan kelab tersebut seperti mahu memusnahkan mereka,” tambah Guardiola. – AFP











