Permaisuri Johor coret kenangan dengan Almarhum Sultan Ahmad Shah - Utusan Malaysia

Permaisuri Johor coret kenangan dengan Almarhum Sultan Ahmad Shah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 23 Mei – Keperibadian serta sifat merendah diri Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al Muadzam Shah dikongsi Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

Raja Zarith Sofiah berkongsi kenangan Baginda mengenai Almarhum yang sentiasa akan dikenang sebagai seorang Sultan berjiwa rakyat menerusi entri terkini Facebook The Royal Johor – Penghormatan kepada Almarhum Sultan Ahmad Shah, Pahang hari ini.

Titah Raja Zarith Sofiah, semasa zaman tanpa internet mahu pun media sosial untuk mendapatkan maklumat, bukan suatu yang luar biasa melihat gambar Almarhum dengan berbaju senam, duduk di lantai di sebuah rumah kampung sambil berbual dengan seorang warga emas yang sedang sakit dipaparkan di akhbar dan televisyen.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Yang pasti, generasi muda tidak tahu mengenainya, namun bagi kami ia bukan satu yang luar biasa melihat gambar Almarhum begitu dipaparkan di akhbar dan televisyen, tidak lupa juga bagaimana Almarhum antara yang terawal sampai di tempat kejadian setiap kali berlaku bencana alam di Pahang.

“Bagi keluarga saya di Perak, kami sudah biasa melihat gambar Almarhum bersama rakyat, malah bonda kami juga sering menunjukkan paparan akhbar mengenai Almarhum sambil berkata, Tengok ni, Sultan Pahang mesti ada!,” titah Baginda menerusi entri tersebut.

Raja Zarith Sofiah turut mengimbau bagaimana ayahanda dan bonda membincangkan mengenai siapa yang perlu diberi penghormatan untuk memulakan acara merenjis pada hari perkahwinannya sama ada ayahandanya yang merupakan Sultan Perak ketika itu atau Almarhum Sultan Ahmad Shah anak saudara dan juga Yang Dipertuan Agong dan tidak lupa, ayahanda bakal suaminya yang juga merupakan seorang Sultan.

Bagaimanapun, Raja Zarith Sofiah bertitah, Almarhum Sultan Ahmad Shah berbesar hati dengan mengetepikan protokol dan memberi laluan kepada ayahandanya.

Permaisuri Johor bertitah, keprihatinan Almarhum tidak terhenti di situ apabila baginda merupakan antara yang terawal dan yang sering melawat anakanda Baginda, Almarhum Tunku Abdul Jalil yang didiagnos dengan kanser dan dirawat di Hospital Gleneagles di Singapura pada 2014.

“Biarpun keadaan kesihatan Almarhum ketika itu juga tidak berapa baik, Baginda masih meluangkan masa melawat serta memberi kata-kata semangat kepada kami sekeluarga terutama Jalil yang baginda jarang jumpa serta tidak kenal secara dekat. Begitu juga semasa Almarhum Sultan Iskandar sedang sakit, baginda turut melawat serta menunjukkan keprihatinannya kepada suami saya,” titah Raja Zarith Sofeah.

Bagi Raja Zarith Sofiah, perkara yang paling diingatinya adalah pengiktirafan Almarhum yang sentiasa memperkenalkan Baginda sebagai sepupu pertama baik dalam majlis rasmi atau tidak sehingga membuatkan tetamu terkejut memandangkan Baginda jauh lebih muda daripada Almarhum. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini