Perak negeri pertama lancar Buku Panduan Keselamatan Kanak-Kanak - Utusan Malaysia

Perak negeri pertama lancar Buku Panduan Keselamatan Kanak-Kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 8 Mei – Perak merupakan negeri pertama yang mengambil inisiatif dengan melancarkan Buku Panduan Keselamatan dan Perlindungan Diri Kanak-Kanak.

Langkah itu untuk menangani kes penganiayaan kanak-kanak termasuk penderaan fizikal, emosi dan seksual serta pengabaian oleh ibu bapa yang kian meningkat.

Dicetak dalam bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil dengan kandungannya berunsurkan mesra kanak-kanak, sebanyak 373,000 buku panduan tersebut akan diagihkan kepada 1,102 buah sekolah di negeri ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sementara itu, sebanyak 167,000 naskhah lagi akan dihantar ke jabatan-jabatan kerajaan, pusat jagaan kanak-kanak serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal berharap, penggunaan buku panduan tersebut dapat diperluaskan lebih-lebih lagi versi bahasa Inggerisnya boleh diperolehi secara atas talian.

“Kita berharap rakyat dapat bercakap tentang perkara ini di media sosial, sama seperti kita membenci jenayah dadah.

“Selain itu, ibu bapa juga perlu memberikan kesedaran kepada anak mereka mengenai larangan sentuhan di bahagian sulit termasuk oleh orang yang dipercayai, khususnya bagi kanak-kanak perempuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis pelancaran buku panduan tersebut yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pendidikan negeri di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Wong May Ing. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini