JOHOR BAHRU 5 Mei – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) tidak menolak kemungkinan mengambil pendekatan sama seperti dilakukan Indonesia dengan menghapuskan bot nelayan asing yang ditahan sekiranya usaha membanteras kegiatan pencerobohan itu masih gagal ditangani.
Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, buat masa ini, kerajaan bersetuju untuk menubuhkan pasukan khas membabitkan Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar dan MOA bagi membanteras kegiatan pencerobohan nelayan asing di perairan negara.
Menurutnya, penubuhan pasukan khas itu adalah bagi menunjukkan ketegasan pihaknya yang mahu membenteras masalah tersebut.
“Jadi, bila kita buat penguatkuasaan di peringkat tertinggi, kita dapat lihat berlakunya tangkapan, malah kapal perang kita juga sudah mula melakukan pemantauan di perairan dan paling tidak pun saya pasti sudah ada pengurangan pencerobohan itu, tindakan bersepadu yang kita ambil.
“Buat masa ini, kita cuba pendekatan yang ini dahulu,” katanya ditanya sama ada pihak kementerian berkemungkinan mengambil tindakan tegas seperti dilakukan Indonesia dengan membakar bot.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Jamuan Ulang Tahun ke-40 Persatuan Pemborong Ikan Johor Bahru, di sini hari ini.
Salahuddin berkata, sekiranya keterlibatan kementerian bagi menangani isu pencerobohan nelayan asing tidak berjaya, beliau akan mengambil langkah sama dengan menghapuskan bot mereka.
Jika operasi yang dijalankan itu juga tidak berkesan, Salahuddin akan membawa perkara tersebut ke peringkat Kabinet semula untuk dibincangkan. – UTUSAN ONLINE











