LONDON 6 Mei – Selepas 11 tahun bersama Arsenal, Aaron Ramsey mengucapkan selamat tinggal dengan penuh beremosi kepada penyokong Arsenal, semalam selepas perlawanan terakhir di Stadium Emirates menentang Brighton yang berkesudahan 1-1.
Ramsey bersama dua lagi pemain meninggalkan kelab itu, Petr Cech dan Danny Welbeck diberikan penghormatan selepas perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu sekaligus menamatkan harapan The Gunners menamatkan saingan liga di kedudukan empat teratas.
Welbeck dan Cech diberikan sambutan hangat tetapi emosi memuncak ketika Ramsey diperkenalkan sehingga membuatkan penyokong setia Arsenal dan pemain mengalirkan air mata.
Ramsey yang menyertai kelab itu sebagai pemain muda berbakat ketika berusia 17 tahun dari Cardiff turut sebak ketika penyokong Arsenal meraikan karier gemilangnya menjelang perpindahan percuma ke Juventus pada musim panas ini.
Selepas menerima tepukan gemuruh sambil berdiri, Ramsey menahan emosi mengingat kembali karier panjangnya di kelab utara London itu menyaksikannya menjaringkan dua gol kemenangan Piala FA selepas mengalami patah kaki yang teruk.
“Ia begitu emosi. Ia perjalanan yang sukar sepanjang 11 tahun hidup saya. Banyak perkara berlaku dan saya boleh memberitahu berdasarkan suara saya bagaimana ia begitu berharga kepada saya.
“Saya berterima kasih terhadap peluang diraih beraksi bersama kelab hebat ini. Saya menghabiskan masa 11 tahun di sini (London).
“Saya meninggalkan tempat ini sebagai lelaki bersama isteri saya, anak-anak saya dan banyak perkara berlaku dan tidak sabar untuk menyahut cabaran baru dalam hidup saya tetapi semuanya sekarang mengenai perkara ini.
“Inilah kelab saya membesar. Saya mahu menyelesaikannya untuk beberapa hari sebelum fokus kepada kelab baru, Juventus,” katanya kepada Sky Sports. – AGENSI











