KAMPAR – Seorang pemandu lori maut selepas kenderaan yang dipandunya melanggar belakang sebuah treler di Kilometer 300.8, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.25 pagi itu, mangsa, Azman Ahmad, 44, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan berat tersebut sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Pulau Pinang.
“Tiba di tempat kejadian, lori dipandu mangsa telah melanggar belakang sebuah treler yang dipandu seorang lelaki berusia 35 tahun yang berada di lorong kiri.
“Akibat kemalangan tersebut, bahagian depan lori tersebut melekat pada bahagian belakang treler sebelum lori tersebut diseret kira-kira 130 meter dari tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Tambah Hasron Nazri, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kampar untuk proses bedah siasat.
“Hasil bedah siasat mendapati mangsa didapati meninggal dunia kerana kecederaan parah akibat kemalangan.
“Pemandu treler pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE











