KUALA LUMPUR 9 Mei – Pemain tengah PKNS FC, Akram Mahinan berpandangan adalah satu kerugian jika Liga Malaysia diberhentikan sepanjang bulan Ramadan ini kerana boleh menjejaskan prestasi dan momentum pemain selepas mengharungi separuh musim saingan liga.
Jelasnya, jika mampu mengawal faktor pemakanan selain mendapat rehat secukupnya, tiada masalah buat mana-mana pemain untuk beraksi di tahap terbaik sepanjang menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan.
“Bagi saya ada kebaikan liga dijalankan pada bulan puasa kerana jika kalau hendak dihentikan selama sebulan, lambat dan susah buat pemain mendapatkan balik prestasi selepas beraksi beberapa bulan ini.
“Apa yang penting sebenarnya terletak pada diri sendiri iaitu bagaimana seseorang pemain itu menjaga pemakanan, kecergasan dan waktu tidur yang cukup.
“Cara pemakanan paling penting ketika berbuka adalah tidak mengambil makanan berat dan banyak, selepas latihan, baru ambil dengan banyak agar tidak menjejaskan rentak kita semasa berlatih,” katanya.
Pandangan Akram turut disokong pertahanan berpengalaman PKNS, Shahrom Kalam, yang berasakan tiada perbezaan ketara bagi beliau sama ada bermain di bulan puasa atau di waktu biasa.
“Puasa atau tidak, bagi saya sama sahaja. Sebagai contoh jika katakan sesuatu pasukan itu berada di momentum terbaik dan tiba-tiba liga dihentikan, memang satu kerugian.
“Mungkin dalam perlawanan pertama akan sedikit terasa, kesan daripada berpuasa tetapi selepas itu tiada masalah untuk beraksi bila badan kita sudah biasa,” katanya yang ditemui pada sesi latihan pasukan di Kompleks Sukan PKNS, baru-baru ini.
Liga Malaysia akan terus dijalankan sepanjang bulan Ramadan dengan tiga perlawanan Liga Super dan tiga perlawanan Liga Perdana akan berlangsung selain suku akhir kedua Piala FA.
Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mahu pastikan jadual perlawanan tidak begitu padat yang boleh jejaskan prestasi pemain jika aksi Liga Malaysia dihentikan pada bulan Ramadan ini. – UTUSAN ONLINE











