PARIS 28 Mei – Bintang sayap Lyon, Maxwel Cornet berkata, berita yang mengatakan dia menarik minat Liverpool adalah sesuatu yang amat mengujakan.
Pemain antarabangsa Ivory Coast itu menamatkan musim ini dengan menjaringkan lima gol untuk membantu Lyon menduduki tangga ketiga Ligue 1.
Kontraknya Lyon hanya akan berakhir pada 2021, namun Cornet, 23, dikatakan bakal meninggalkan kelab Perancis itu hujung minggu ini dan dikaitkan dengan Reds.
Cornet sebelum ini turut dikaitkan dengan perpindahan ke Watford pada Januari lalu, namun ia tidak berlaku sekalipun Lyon enggan memenuhi tuntutannya untuk menandatangani kontrak baharu.
“Saya tidak kata saya mahu pergi.
“Saya bertemu presiden pada Januari lalu dan memberitahu, saya mahu menyambung kontrak tetapi rundingan tersebut tidak berjalan baik.
“Liverpool adalah sebuah kelab besar dan dikaitkan dengan mereka sudah tentu membuatkan sesiapa sahaja akan teruja.
“Saya masih ada kontrak sehingga 2021 tetapi dalam bola sepak anda tidak tahu apa akan berlaku, jadi kita tunggu dan lihat,” katanya kepada beIN Sports France. – AGENSI











