Pelumba Itali ganti tempat Super KIP - Utusan Malaysia

Pelumba Itali ganti tempat Super KIP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Pasukan Petronas Sprinta Racing terpaksa membuat keputusan membawa masuk pelumba Itali, Mattia Pasini untuk menggantikan tempat Khairul Idham Pawi atau Super KIP selepas jari kelingking tangan kanannya retak ketika beraksi pada Grand Prix (GP) Sepanyol Jumaat lalu.

Khairul yang berlumba dalam kelas Moto2 bermula garang apabila menduduki posisi keenam semasa sesi latihan bebas, namun pelumba berusia 20 tahun itu terlibat dalam kemalangan di selekoh kelima dengan sesi latihan bebas berbaki 13 minit di Litar Jerez-Angel Nieto.

Khairul disahkan mengalami retak tulang jari kelingking kanan selain hilang sebahagian tulang, kulit dan tendon. Kini, pelumba kelahiran Batu Gajah, Perak itu baru selesai menjalani proses pembedahan di Barcelona pada Sabtu lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Difahamkan, Khairul memerlukan kira-kira enam hingga lapan minggu untuk pulih sepenuhnya bergantung kepada proses pemulihan kecederaan Tahap 3 yang dialaminya ketika di Jerez.

Prinsipal pasukan, Razlan Razali turut berduka cita dengan kecederaan yang menimpa pelumbanya itu dan yakin Khairul akan kembali menjelang perlumbaan GP Catalan yang berlangsung pada 16 Jun nanti.

“Pasini akan menggantikan tempat Khairul dan kami percaya bahawa dia adalah calon terbaik untuk bersama kami ketika ini.

“Ada beberapa sebab utama kami memilih Pasini, pertama dia pelumba berpengalaman dan kompetitif. Kedua, dia boleh membantu kami membina jentera Moto2 de­ngan lebih baik.

“Saya juga ingin meletakkan pelumba Malaysia tetapi buat masa ini, kami tidak mempunyai pelumba Moto2 yang bersedia beraksi dalam saingan ini,” katanya.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini