PUTRAJAYA 2 Mei – Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dilantik sebagai Ketua Polis Negara secara kontrak selepas bersara bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 4 Mei 2019 hingga 3 Mei 2021.
Beliau berkata, pelantikan Abdul Hamid dibuat berdasarkan pengalaman luasnya dalam bidang kepolisan.
“Seperti yang termaktub di bawah Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis telah memperkenankan pelantikan secara kontrak selepas bersara Abdul Hamid sebagai Ketua Polis Negara.
“Beliau dilantik bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 4 Mei 2019 hingga 3 Mei 2021,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, Abdul Hamid mempunyai kompetensi dan daya kepimpinan yang tinggi bagi meneruskan kesinambungan dan tanggungjawab menerajui Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Sepanjang perkhidmatannya dalam PDRM, beliau (Abdul Hamid) memegang pelbagai jawatan di peringkat daerah, negeri dan Ibu Pejabat Bukit Aman.
“Antara jawatan yang pernah disandang beliau ialah Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Ketua Cawangan Khas Negeri, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Inteligen Luar (E3), Bahagian Ancaman Ekstremis Luar, Timbalan Pengarah Cawangan Khas 1 dan Pengarah Cawangan Khas sejak 23 Mei 2018,” katanya.
Muhyiddin berkata, bagi pihak kerajaan beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tan Sri Mohamad Fuzi Harun di atas segala sumbangan dan khidmat bakti yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai Ketua Polis Negara sejak 2017. – UTUSAN ONLINE











