KUALA LUMPUR 21 Mei – Seramai 50 pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan (Aswara) mengambil inisiatif mengadakan program berbuka puasa bagi menyantuni golongan gelandangan di sekitar ibu kota, semalam.
Pengarah projek Program Amal Bersama Gelandangan ‘Jentik Hati’, Ungku Nor Zalifah Ungku Abdul Rased berkata, program tersebut bertujuan menyemarakkan bulan Ramadan dan mewujudkan ukhuwah yang lebih erat antara pelajar dan gelandangan.
“Buat julung kalinya, Aswara mencari kelainan dengan mendekati golongan gelandangan.Sebelum ini setiap kali Ramadan, kami lebih memberi perhatian kepada anak-anak kurang bernasib baik seperti anak yatim.
“Selain itu, diharapkan pelajar dapat mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran berkaitan dengan pengurusan sesuatu program,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada majlis berbuka puasa di Pusat Transit Gelandangan di sini. – UTUSAN ONLINE











