RAUB – Seorang pekerja kebun terbunuh selepas motosikalnya merempuh sebuah lori berhampiran Pusat Pertanian Raub, di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.40 pagi itu, Muhammad Saufi Jamaluddin,27, dari Kampung Gali Lurus,di sini meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Raub,Superitendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dipercayai datang dari arah Dong menghala ke bandar ini.
“Motosikal jenis Yamaha 125 Z yang ditunggang mangsa dikatakan hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang lori terbabit dari arah yang sama.
“Mangsa mengalami cedera parah dibahagian kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Menurut beliau, pemandu terbabit disyaki tidak menyedari bahagian belakang kenderaannya dirempuh dan meneruskan perjalanan.
“Beberapa serpihan daripada lori terbabit termasuk lampu belakang berada di lokasi kejadian dan pihak polis kini sedang menjejakinya,” ujarnya.
Wan Mohd Zahari memberitahu, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raub untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga untuk dikebumikan.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – K! ONLINE











