KUALA LUMPUR 10 Mei – Bok Marketing Sdn. Bhd., cawangan syarikat Bookoff Corporation Ltd. akan membuka pasar raya barangan terpakai keempat Jalan-Jalan Japan (JJJ Superstore) pada 18 Mei ini di pusat beli-belah M3 di Gombak.
Pasar raya JJJ Superstore pertama di buka di OneCity USJ pada 2016.
JJJ Superstore menyediakan ruang bagi rakyat Malaysia untuk membeli belah seolah-olah seperti bersiar-siar di Jepun.
Semua barangan adalah barangan terpakai yang diimport dari Jepun memandangkan syarikat induk, BOOKOFF adalah kedai barangan terpakai popular dengan lebih 800 cawangan di Jepun.
Setiap JJJ Superstore memiliki kira-kira 200,000 barangan dalam pelbagai kategori termasuk pakaian, beg, kasut, barangan isi rumah dan bayi, permainan, barangan sukan, instrumen, hiasan, perabot dan aksesori.
Pelanggan juga boleh membeli pakaian tradisional Jepun, Kimono pada harga yang murah antara RM20 hingga RM80.
Syarikat itu merancang membuka lebih banyak cawangan JJJ Superstore di seluruh Malaysia. – BERNAMA











