KOTA BHARU 12 Mei – Persatuan Kesenian dan Kebudayaan Anak Kelantan (Pakkak) dan Restoran Pondok Kebaboom Pasir Tumboh ligat mengumpulkan dana bagi anak-anak yatim menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Presiden Pakkak Mohammad Aswady Adenan berkata, Projek Baju Raya Anak Yatim 2019 itu bertujuan memberikan kegembiraan kepada golongan berkenaan menyambut lebaran pada tahun ini.
Menurutnya, setakat ini Pakkak dan Restoran Pondok Kebaboom telah berjaya mengumpulkan dana berjumlah RM2,000 bagi menyakan program tersebut.
“Kami memerlukan sumbangan sekurang-kurangnya RM5,000 untuk menjayakan program ini.
“Lagi banyak lebih baik, sebab tujuan utama kami untuk memastikan ramai yang mendapat manfaat ini,” katanya.
Mohammad Aswady memberitahu, bagi memudahkan sumbangan dihulurkan pihaknya telah meletakkan tabung kutipan di Restoran Pondok Kebaboom, Pasir Tumboh.
Katanya, selain itu sumbangan juga boleh disalurkan ke akaun CIMB miliknya di 7049204510.
“Cuma saya minta penderma perlu hantar transaksi kepada saya di talian 0199564649 sebagai bukti sumbangan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











