Pak Wan mahu pecah rekod kayuhan MBOR sendiri - Utusan Malaysia

Pak Wan mahu pecah rekod kayuhan MBOR sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Pengayuh basikal warga emas, Wan Hashim Wan Mahmood, 73,  mahu memecahkan rekod Malaysia Book of Records (MBOR) yang diperolehinya sendiri dengan melakukan kayuhan terpantas sebagai lelaki tertua mengelilingi Semenanjung Malaysia melalui Selatan Thailand Jun depan.

Wan Hashim yang dikenali sebagai Pak Wan memberitahu, cabaran itu pernah dilakukan dengan mengambil masa selama 30 hari dan diiktiraf sebagai lelaki tertua mengelilingi Semenanjung Malaysia pada 2014.

Katanya, kayuhan solo dengan kerjasama Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) akan bermula pada 22 Jun itu merangkumi sejauh 2,400 kilometer (km) dan dijangka sampai ke Kelantan pada 10 Julai nanti dengan mengambil masa 20 hari sahaja.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Secara peribadi, misi ini sangat mencabar kerana terpaksa mengayuh basikal sejauh 120km hingga 130km sehari dengan mengambil selama 12 jam.

 “Namun, saya sekali lagi mencabar diri untuk membuat sesuatu kelainan dan ini merupakan cabaran besar untuk dilaksanakan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir ialah Presiden Kemudi, Azran Fitri Abdul Rahim.

Tambah Wan Hashim, kayuhan itu merupakan percubaannya untuk diiktiraf MBOR buat kali kelima selepas menerima pengiktirafan sama pada tahun  2014,  2016,  2017 dan  2018.

Bapa kepada enam anak, 20 cucu dan seorang cicit itu sudah memulakan persiapan rapi dari segi kesihatan,mental dan fizikal walaupun pada bulan Ramadan.

“Bagi merealisasikan impian ini saya turut menjalani latihan pada bulan Ramadan dengan berkayuh selepas solat terawih selama satu jam setiap malam.

“Perjalanan saya akan bermula di Kota Bharu ke Pengkalan Kubor, Tumpat sebelum menaiki feri ke Takbai, Thailand dan seterusnya ke Padang Besar, Perlis untuk memulakan misi mengelilingi Semenanjung Malaysia,” ujarnya.

Sementara itu, Azran Fitri berkata, pihak Kemudi berbesar hati untuk berkolaborasi dengan Pak Wan yang bukan sahaja akan memecahkan rekod MBOR dirinya sendiri malah akan mengedarkan risalah yang tertera laman web semua media berdaftar dengan kelab media itu di Kelantan.

“Orang ramai akan diberi kesedaran agar memilih saluran media yang sahih iaitu yang bersandarkan etika kewartawanan dalam melaporkan sebarang berita secara tepat.

“Usaha ini adalah memberikan pendidikan kepada masyarakat tentang kesan buruk daripada maklumat tidak benar yang diterima mereka jika tanpa usul periksa,” ujarnya. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini