LONDON 14 Mei – Pengerusi Liverpool, Tom Werner percaya skuad kendalian Jurgen Klopp akan menjadi lebih baik selepas mengharungi musim penuh ‘keajaiban’.
The Reds hanya tewas sekali dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini tetapi berada di kedudukan kedua dengan 97 mata, satu mata di belakang Manchester City.
Werner sangat gembira dengan prestasi pasukan itu sepanjang kempen kali ini dan berharap mereka akan tampil cemerlang dalam aksi final Liga Juara-Juara menentang Tottenham, 2 Jun ini.
Liverpool bangkit daripada ketinggalan 0-3 untuk menyingkirkan Barcelona dalam aksi separuh akhir di Anfield bagi menebus kekecewaan mereka selepas tewas kepada Real Madrid di Kiev tahun lalu.
“Ini adalah musim penuh keajaiban.
“Memang kami kecewa kerana gagal meraih kejuaraan liga tetapi ia adalah musim yang sangat baik secara keseluruhannya.
“Tiada kata-kata yang cukup untuk menggambarkan Jurgen dan barisan pemain yang ada di atas padang.
“Kami akan jadi lebih kuat. 97 mata, ia adalah musim luar biasa. Kami memiliki motivasi untuk menjadi juara liga musim hadapan dan saya sangat teruja,” katanya.-AGENSI











