ROME 14 Mei – Juara Terbuka Perancis, Garbine Muguruza tidak berdepan masalah menyingkirkan pemain dari China, Zheng Saisai dengan beraksi di atas gelanggang tanah liat dalam Terbuka Itali.
Muguruza merupakan bekas pemain No. 1 dunia dan kini menduduki tangga ke-19 mencatat kemenangan 6-3, 6-4 sekali gus menewaskan Saisai buat kali ketiga pada musim ini.
Pemain berusia 25 tahun yang memenangi Terbuka Perancis pada 2016 dan Wimbledon pada 2017 mara ke separuh akhir kejohanan tersebut sebanyak dua kali.
“Permulaan yang perlahan namun saya gembira sebab minggu lalu tidak sebaik ini. Saya sukakan Rom dan perlawanan ini penting untuk saya supaya saya boleh beraksi dalam Grand Slam di Terbuka Perancis,” katanya.
Dia akan bertemu sama ada pemain Denmark, Caroline Wozniacki yang merupakan pilihan ke-11 atau Danielle Collins dari Amerika Syarikat (AS) di pusingan ketiga.
Seorang lagi pemain China turut menerima nasib yang sama apabila Zhang Shuai tewas 6-2, 6-1 kepada juara Terbuka Australia dua kali, Victoria Azarenka dan dia akan bertemu juara bertahan, Elina Svitolina di pusingan ketiga.
Pemain pilihan ke-15 juga dari China, Wang Qiang tumpas kepada Katerina Siniakova dari Republik Czech dengan keputusan 1-6, 7-5, 6-4. – AFP











