MPNF akan serah surat kepada Perdana Menteri - Utusan Malaysia

MPNF akan serah surat kepada Perdana Menteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG 26 Mei – Demi menuntut kerajaan untuk memberikan insentif atau duit raya kepada 112,635 peneroka Felda di seluruh negara, Majlis Permuafakatan NGO Felda (MPNF) akan menyerahkan satu surat kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Pengerusinya, Datuk Mazlan Aliman berkata, surat tersebut akan dihantar dalam masa terdekat bagi membolehkan kerajaan mempertimbangkan permintaan warga Felda sebelum menjelang perayaan Aidilfitri.

Menurut Mazlan, perkara itu seharusnya dipertimbangkan kerajaan kerana dengan pemberian insentif itu membolehkan warga Felda membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jika tiada pemberian duit raya seperti tahun lalu agak sukar peneroka Felda membuat persiapan raya kerana sebahagian terpaksa bergantung kepada pemberian anak masing-masing.

“Namun, bukan semua anak peneroka boleh memberi duit belanja kerana ada yang mampu dan tidak mampu,”katanya ketika ditemui dalam Program Ramah Mesra Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Klang bersama Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah LPP Azmizam Zamanhuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, kerajaan Pakatan Harapan memperuntukkan RM50 juta bagi pemberian insentif kepada peneroka Felda tahun lalu bagi menyambut Aidilfitri.

“Oleh demikian kita berharap berbaki beberapa hari lagi sebelum raya, kerajaan mengumumkan duit raya kepada peneroka ini sekurang-kurangnya RM450 seperti tahun lalu.

“Selain itu, kita juga merayu kepada FGV Holdings Bhd. supaya mengambil langkah sama untuk menyalurkan duit raya kepada peneroka, seperti amalan sebelum ini,”ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini