DUNGUN 2 Mei – Majlis Perbandaran Dungun (MPD) hari ini melakukan `pembersihan’ sekitar bandar ini dengan
menurunkan 1,424 pelbagai bentuk iklan dalam operasi dua jam bermula pukul 9.30 pagi ini.
Operasi itu diadakan antara lain bertujuan membanteras pemasangan iklan haram khususnya iklan pinjaman wang haram
atau `ah long’ yang semakin berleluasa di daerah ini.
Kesemua iklan yang diturunkan itu kemudian dibawa ke pejabat MPD bagi tujuan pelupusan.
Yang Dipertua MPD, Lizan Che Mat berkata, operasi kali in disertai seramai 40 anggota penguatkuasa MPD selain Ketua
Polis Daerah ini, Superintenden Baharudin Abdullah dan Ahli-Ahli Majlis MPD sendiri.
Beliau memberitahu, sasaran utama operasi itu untuk menurunkan iklan haram yang didapati tidak mendapat permit dan
iklan sudah tamat tempoh yang dipasang pada tiang-tiang lampu di sekitar bandar Dungun.
“Kita dapati iklan-iklan haram itu dipasang oleh sesetengah individu yang dipercayai `ah long’ yang menawarkan
pinjaman peribadi secara haram.
“Masih ada lagi kalangan orang ramai yang tak tahu tentang bahaya meminjam wang daripada ah long sehingga mereka
begitu mudah tertarik dengan tawaran yang diberi,” katanya di sini hari ini.
Sehubungan itu, Lizan menasihati orang ramai khususnya peniaga supaya sentiasa berwaspada bagi mengelak terjebak
dengan sindiket pinjaman wang haram seumpama itu.
Beliau menarik perhatian, tahun lalu, MPD telah menurunkan sebanyak 8,465 keping iklan haram manakala sebanyak
5,040 iklan diturunkan dari Januari hingga awal Mei tahun ini.
“Kita akan terus lakukan pemantauan dan operasi bagi membanteras kegiatan haram ini (tampal iklan haram) daripada
dibiar berleluasa di daerah ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE











