Misteri alat kebesaran maharaja Jepun - Utusan Malaysia

Misteri alat kebesaran maharaja Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sejak beberapa hari lalu, perhatian seluruh masyarakat dunia tertumpu kepada peristiwa bersejarah yang berlaku di negara matahari terbit, Jepun apabila buat pertama kali dalam tempoh 200 tahun sejarah diraja Jepun, maharajanya melepaskan takhta untuk diserahkan kepada anaknya.

Penyerahan takhta diraja Jepun oleh Maharaja Akihito, 85, kepada anaknya Maharaja Naruhito, 59, pada Selasa lalu juga menandakan berakhirnya era Heisei dan bermulanya era baharu iaitu era Reiwa yang bermaksud kecantikan harmoni.

Baginda diisytiharkan secara rasmi sebagai maharaja yang baharu pada Selasa lalu dan proses pemasyhuran Naruhito sebagai Maharaja Jepun dibuat sehari selepas itu dalam satu ritual khas.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun di sebalik peristiwa bersejarah ini ritual khas yang diadakan dalam tempoh singkat atau kira-kira 10 minit bagi menabalkan maharaja Jepun yang baharu telah menjadi bualan hangat banyak pihak.

Ini kerana acara itu bukan sahaja tidak membenarkan kerabat diraja wanita termasuk isteri maharaja baharu ini, Masako menghadirinya malah persembahan tiga alat kebesaran maharaja Jepun atau dikenali sebagai Sanshu-no-jingi turut menimbulkan misteri.

Menambah misteri, ketiga-tiga alat kebesaran ini iaitu sebilah pedang bernama Kusanagi no Tsurugi, barang kemas seperti jade yang dikenali sebagai Yasakani no Magatama dan cermin suci bernama Yata no Kagami tidak pernah dipertontonkan kepada orang ramai dan tersimpan rapi dalam kotak.

MILIK DEWI MATAHARI

Menurut kisah mitos dan kepercayaan masyarakat Jepun, ketiga-tiga alat kebesaran ini wujud sejak berkurun lamanya dan digunakan bagi menabalkan maharaja Jepun yang baharu dan sah sejak bermulanya sejarah beraja di negara matahari terbit itu.

LAKARAN yang dipercayai pedang Kusanagi, Yasakani no Magatama dan cermin suci bernama Yata no Kagami
LAKARAN yang dipercayai pedang Kusanagi, Yasakani no Magatama dan cermin suci bernama Yata no Kagami.

Kewujudan alat kebesaran yang dianggap suci ini turut direkodkan dalam kitab purba Jepun iaitu Kojiki dan Nihon-shoki. Menurut kisah legenda ini, pada mulanya kesemua alat ini dimiliki oleh Amaterasu yang juga dewi matahari sebelum dibawa turun ke bumi oleh cucu lelakinya, Ninigi no Mikito.

Menurut Kojiki, pedang Kusanagi pernah digunakan untuk membunuh ular berkepala lapan oleh Susano-o yang juga merupakan dewa badai.

Bagaimanapun, pedang ini kemudiannya dihadiahkan kepada Amaterasu yang juga adiknya manakala Yasakani no Magatama dan Yata no Kagami diberikan kepada Amaterasu oleh seorang lagi dewa bernama Ame no Uzume.

Satu lagi kisah legenda melibatkan pedang Kusanagi berlaku ketika abad ketiga apabila seorang putera raja bernama Yamato Takeru telah menggunakan pedang ini untuk mematahkan pemberontakan penduduk di utara Jepun. Bagaimanapun, ketika menyertai misi ini Yamato ditangkap di salah sebuah kawasan yang mempunyai rumput panjang dan seterusnya musuh-musuhnya ini telah membakar seluruh kawasan tersebut bagi membunuhnya.

Dengan kuasa mistik dimiliki pedang ini, Yamato menggunakan Kusanagi untuk memotong dan memadam kebakaran di sekelilingnya sekali gus berjaya menyelamatkan nyawanya.

Sejak itu, pedang ini dikenali sebagai Kusanagi no Tsurugi atau membawa maksud pedang untuk memotong rumput.

HILANG DI LAUTAN

Kisah mistik dan misteri mengenai alat kebesaran ini tidak terhenti setakat itu. Ketika berlakunya perang Genpei antara kerajaan Taira dan Kyoto pada tahun 1185, ketiga-tiga alat kebesaran ini dikatakan hilang dalam laut di teluk Dan-no-ura.

Bagaimanapun, Yasakani no Magatama dan Yata no Kagami dikatakan dijumpai semula terapung. Pun begitu, timbul persoalan sama ada pedang Kusanagi terus hilang atau tidak.

Menurut Kitabatake Chikamatsu dalam buku Jinno Shotoki, pedang asal Kusanagi tidak pernah dibawa keluar dari tempat suci, Atsuta di Nagoya dan pedang yang dikatakan hilang itu hanya sebuah replika yang diarahkan dibuat oleh Maharaja Sujin iaitu maharaja pertama yang diakui kewujudannya.

Kini, kesemua alat kebesaran diraja Jepun ini dikatakan disimpan rapi di tempat berasingan. Selain pedang Kusanagi, Yata no Kagami dikatakan tersimpan rapi di tempat suci di Ise manakala Yasakani no Magatama pula disimpan di istana.

Menurut hikayat Jepun, cermin memiliki kuasa ketuhanan dan dalam konteks penabalan rasmi maharaja Jepun, Yata no Kagami mewakili sifat hikmah maharaja.

ADAKAH MASYARAKAT JEPUN PERCAYA KUASA MISTIK ALAT KEBESARAN

Biarpun maharaja-maharaja Jepun mempercayai asal usul mereka daripada Amaterasu, mereka kini tidak lagi mendakwa sebagai dewa atau tuhan malahan Maharaja Hirohito iaitu datuk kepada maharaja sekarang menolak daripada dikaitkan mempunyai status ketuhanan selepas Jepun kalah dalam Perang Dunia Kedua.

Menurut pakar sejarah Jepun, Prof. Hideya Kawanishi dari Universiti Nagoya, walaupun masih ada masyarakat Jepun yang mempercayai kuasa mistik alat-alat kebesaran ini, sebahagian besar masyarakat tidak lagi menganggap sedemikian dan lebih mempercayai ia hanya sebagai alat perhiasan sama seperti mahkota yang dimiliki oleh raja-raja lain.

Bagaimanapun, katanya, ketiga-tiga alat kebesaran ini penting dalam menunjukkan kekuasaan maharaja dan simbol sistem yang diwarisi sejak beribu-ribu tahun lamanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini