Misi menyelamat lebih efektif dengan jaket MRV - Utusan Malaysia

Misi menyelamat lebih efektif dengan jaket MRV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 8 Mei – Inovasi jaket keselamatan ‘Medical Rescue Vest’ (MRV) yang menggabungkan fungsi tiga dalam satu dapat melancarkan misi anggota penyelamat dalam menyalurkan bantuan kecemasan dan keselamatan kepada mangsa.

Fungsi tiga dalam satu jaket berkenaan adalah ruang penyimpanan kit bantuan kecemasan di kiri dan kanan jaket lengkap dengan zip, boleh dijadikan penyusung yang dilengkapi pemegang untuk menyusung dan pelampung di bahagian kolar jaket.

Penyelidik dan Pensyarah Kanan Jabatan Reka Bentuk Perindustrian, Fakulti Rekabentuk dan Senibina, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohd. Shahrizal Dolah berkata, jaket seberat 1.5 kilogram itu mudah dan selesa dipakai oleh anggota penyelamat ketika tugas mencari dan menyelamat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jaket keselamatan yang dipakai anggota penyelamat buat masa ini hanya jaket biasa manakala ubat-ubatan dibawa oleh anggota perubatan lain.

“Keadaan itu dilihat tidak efektif kerana anggota penyelamat yang tiba awal di lokasi perlu menunggu ubat-ubatan atau pengusung yang dibawa pasukan perubatan lain sedangkan bantuan sepatutnya disalurkan dalam kadar segera,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Shahrizal memaklumkan, MRV diperbuat daripada fabrik nilon dan vinil yang kukuh dan tahan pelbagai keadaan cuaca, manakala pelampungnya diperbuat daripada bahan Ethylene Vinyl Acetate (EVA).

“Selain itu, jaket MRV dilengkapi dengan lapisan pemantul cahaya, tali pinggang dan pengancing, manakala pengusungnya dilipat di bahagian belakang jaket dan dibuka apabila hendak dijadikan pengusung.

“Dalam kes kemalangan atau insiden yang berlaku di permukaan air, pelampung itu boleh mengapungkan mangsa seterusnya diselamatkan dan diberi rawatan kecemasan awal menggunakan peralatan serta ubat yang disisipkan dalam ruang pada jaket,” ujarnya.

Tambah beliau, MRV direkabentuk oleh pelajar pengajian siswazah Jabatan Reka Bentuk Perindustrian, Juliza Jamian bersama Prof. Madya Dr. Raja Ahmad Azmeer Raja Ahmad Effendi, Dr. Saiful Hasley Ramli dan Shahrul Azman Shahbudin.

“Ciptaan yang memenangi pingat perak pada Ekspo Teknologi Malaysia 2018 itu kini dalam peringkat pra-komersial selain melalui ujian kekuatan untuk mendapatkan pengesahan SIRIM,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini