MH370 di utara
lokasi pencarian? - Utusan Malaysia

MH370 di utara
lokasi pencarian?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK 1 Mei – Penyelidik dari Universiti Miami yakin model rantaian Markov yang dibangunkan mereka dapat membantu mengecilkan kawasan penca­rian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Lapor Mirror Online, kumpulan penyelidik yang diketuai oleh Dr. Philippe Miron berkata, model itu dibangunkan menggunakan kaedah matematik berdasarkan data satelit di kawasan penemuan serpihan pesawat itu.

Menjelaskannya, Miron ber­kata, hasil kajian itu adalah da­ripada analisis satelit mengikut pergerakan boya di laut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Boya itu diletakkan pada grid maya bagi membuat simulasi kedudukan serpihan pesawat yang terapung.

Bagaimanapun katanya, memandangkan hanya sebilangan kecil serpihan ditemui, maka model itu tidak boleh dianggap tepat sepenuhnya.

Miron memberitahu, adalah menghairankan selepas lebih daripada tiga tahun, hanya sebahagian kecil serpihan pesawat yang ditemui dan ini meningkatkan kemungkinan berlakunya kesilapan model itu.

“Kita membangunkan tiga model berasingan ekoran terdapat beberapa variasi cuaca di Lautan Hindi dan monsun perairan itu mempunyai kesan penting kepada kawasan ber­­­kenaan,” jelasnya.

Secara keseluruhannya, kata beliau, model berkenaan menunjukkan nahas pesawat itu berlaku di latitud 33 hingga 17 darjah ke selatan sepanjang lengkuk terakhir imej satelit dikesan.

Menurut penyelidik, kedudukan pesawat itu dipercayai lebih ke arah utara daripada kawasan tumpuan pencarian MH370.

Kumpulan penyelidik itu berharap penemuan mereka akan membantu misi pencarian pesawat terbabit pada masa hadapan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini