KUALA LUMPUR 23 Mei – Pembuat tiang keluli, Mestron Holdings Bhd menyasar untuk mengumpul RM25.28 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) pada 16 sen sesaham di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities pada 18 Jun 2019.
Pengarah Urusannya Por Teong Eng berkata syarikat itu merancang menggunakan RM13.0 juta (51.4 peratus) dikumpul daripada IPO untuk meluaskan kemudahan pengilangan dan memperoleh lebih banyak mesin dan peralatan pengilangan untuk pertumbuhan akan datang.
Selain itu, kira-kira RM5.18 juta (20.5 perarus) akan digunakan sebagai modal kerja bagi membeli bahan mentah seperti plat keluli dan paip keluli untuk menyokong peluasan kapasitinya, RM4 juta (15.8 peratus) untuk membayar balik pinjaman bank dan bakinya RM3.10 juta (12.3 peratus) untuk perbelanjaan IPO.
Peluasan kemudahan pengilangan utama akan meningkatkan kapasiti pengeluaran tiang keluli sebanyak 5,700 tan metrik (mt) setahun kepada 11,400 mt setahun.
“Ia akan meningkatkan keupayaan pengeluaran Mestron dalam tiang khusus, terutama tiang layar tinggi dan tiang monopole telekomunikasi,” katanya pada pelancaran prospektus syarikat di sini hari ini. – BERNAMA











