KUALA LUMPUR 23 Mei – Walaupun hanya meletakkan sasaran dua emas, Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) sebenarnya mengharapkan satu lagi emas bonus mampu diperoleh menerusi acara yang baru diperkenalkan iaitu pertandingan pistol tepat (PPC).
Ahli Jawatankuasa Pertandingan dan Latihan NSAM, Datuk Musa Omar berkata, harapan boleh diletakkan dalam berpasukan campuran PPC memandangkan tiada pasukan yang boleh dianggap kuat di peringkat Asia Tenggara buat masa ini.
“PPC adalah acara yang menggunakan pistol 9 milimeter dengan menembak ikut gaya tentera. Ia membabitkan jarak 50 meter yang pastinya sukar untuk mana-mana pasukan dalam meraih pingat.
“Kita masih menjalankan pemilihan penembak untuk acara ini tetapi saya secara peribadi yakin ia mampu menyumbangkan emas kepada kontinjen negara,” katanya.
Selain emas PPC, NSAM juga meletakkan sasaran kepada Johnathan Wong dalam 10 meter air pistol lelaki, selain seorang daripada dua penembak double trap sama ada Benjamin Khor atau Eng Wei Jin untuk membawa pulang pingat emas.
“Malangnya seorang penembak wanita kita iaitu Alia Sazana Azahari yang menjadi harapan untuk layak ke Sukan Olimpik 2020 bersama Johnathan tidak menyertai Sukan SEA kali ini kerana acara standard pistol tidak dipertandingkan di Filipina.
Sukan SEA 2019 dijadual berlangsung dari 30 November hingga 11 Disember ini, yang mana Malaysia akan menyertai 10 daripada 14 acara dipertandingkan. – BERNAMA











