BELUM pun ke mana langkah kita semua di era Malaysia Baharu untuk membina perkongsian kemakmuran, sudah ada suara-suara sumbang menidakkan perlunya diperkasakan lagi tindakan afirmatif. Saya tegaskan di sini, kami bumiputera bersedia mengenepikan perlaksanaan tindakan afirmatif itu jika Dasar Kesaksamaan Peluang digubal, diterima dan dilaksanakan dengan sepenuhnya dan seikhlasnya oleh semua pihak.
Dalam manifesto Pakatan Harapan ada dinyatakan hasrat penggubalan dasar itu tetapi selepas setahun memerintah, belum lagi kedengaran usaha tersebut. Sebaliknya apa yang lantang didesak ialah penghapusan tindakan afirmatif. Malah ada dalam kalangan orang Melayu iaitu penyokong tegar Malaysia Baharu yang menyatakan tindakan itu salah di sisi moral, hanya kerana mereka ini merujuk kes-kes seumpama itu di beberapa negara lain yang tidak memerlukan tindakan sedemikian.
Ada pula dalam kalangan orang Melayu penyokong tegar Malaysia Baharu ini yang mencemuh budaya tongkat yang diusulkan untuk bumiputera di era Dasar Ekonomi Baharu dahulu. Betul, tongkat itu pernah diberikan kepada bumiputera yang memerlukannya. Tapi tahukah kita berapa bilangan tongkat yang benar-benar berfungsi? Pernahkah ada sesiapa yang membilang berapa banyak tongkat itu yang dirosakkan oleh pemimpin-pemimpin politik? Berapa banyak pula tongkat itu yang tidak berkualiti, yang rapuh, yang diberikan oleh agensi kerajaan, yang membawa rebah bumiputera yang sepatutnya bertongkat kepadanya? Pun begitu tidak juga dinafikan ramai bumiputera yang menerima tongkat berkualiti dan cukup tegap tetapi tongkat itu juga yang membawa usahawan bumiputera tersebut rebah dek kerakusan mereka sendiri. Maka usaha dan niat melabelkan dan merangkumkan semua bumiputera sudah banyak menerima tongkat sakti tanpa memperincikan pecahannya, kejayaannya dan kegagalannya adalah sesuatu yang tidak bermoral malah menghina kaum bumiputera. Apatah lagi penghinaan itu juga datangnya daripada beberapa kerat bumiputera yang kini sudah menjadi pendukung kuat Malaysia Baharu.
Soalnya, mengapa kami mahukan dasar itu, seolah-olah kami menagih simpati daripada kamu? Sebabnya kamu tidak pernah berlaku adil dan saksama kepada kami. Lihatlah bagaimana kamu gubal Rancangan Malaysia Pertama (1966-1970) untuk Malaysia amalkan dasar ekonomi pasaran terbuka bagi membolehkan puak-puak kapitalis dalam kalangan kamu mengaut segala peluang ekonomi hanya kerana kamu berada pada kedudukan lebih mampu. Tanpa dasar itu, kami tidak yakin kamu semua akan ikhlas menjuarai agenda perkongsian kemakmuran. Kami tidak yakin kamu semua komited menjadikan sekolah di Hulu Kelantan punyai fasiliti dan tenaga perguruan sehebat sekolah di Damansara. Kami tidak yakin kamu semua sudi sediakan national entrepreneurship safety net untuk semua usahawan tanpa mengira bangsa dan asal keturunan untuk bersaing secara saksama, menceburi apa juga bidang keusahawanan tanpa khuatir akan kecundang. Kamu berada di Lembah Klang, makanya kamu lantang bersuara. Kami berada nun jauh di ceruk pedalaman, tiada siapapun peduli kami merintih.
Tidak perlu saya berceloteh panjang di sini. Saya pendekkan hujah saya dengan mengatakan: Ya, kami orang Melayu, komuniti bumiputera, komited untuk sama-sama menjadi sebahagian daripada Malaysia Baharu. Kami komited untuk mengenepikan tindakan afirmatif dan tidak memerlukan tongkat. Tidak berapa kerat pun sebenarnya Melayu atau bumiputera yang menikmati habuan tongkat itu. Apa yang kami mahukan daripada juara-juara Malaysia Baharu terutama dalam kalangan mereka yang berada, terutama mereka yang menjadi golongan berada disebabkan oleh tindakan afirmatif itu, atau menjadi golongan berada kerana tongkat sakti yang pernah diberikan kepada kamu, untuk menggubal satu Dasar Kesaksamaan Peluang. Kami, baik orang Melayu malah komuniti bumiputera keseluruhannya mahu saksikan dahulu bagaimana kamu, peneraju Malaysia Baharu, laksanakan dasar itu dengan seadil-adilnya, kesaksamaannya dan seikhlasnya. Jangan hanya pandai melalak, memperlecehkan kami Melayu dan bumiputera totok ini. Lakukan itu sebagai bukti bahawa kamu sekelian komited untuk menjayakan Agenda Perkongsian Kemakmuran. Insya-Allah, kami akan bersama kamu membina Malaysia Baharu.
DATUK DR. HASAN MAD ialah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM).











